KUALA LUMPUR 19 Dis - Institut Keusahawanan Negara Berhad (Insken) berjaya membantu meningkatkan hasil jualan sebanyak RM3.8 juta menerusi penyertaan seramai 141 usahawan daripada tiga program bimbingannya.
Program terbabit meliputi Insken Bumiputera Business Coaching (IBBC), Program Bimbingan Pembangunan Produk dan Program Bimbingan Keuntungan Menu.
Selain itu, sebanyak 14 pekerjaan baharu turut dicipta melalui Program IBBC.
Pecahan peningkatan hasil jualan ini terbahagi kepada tiga iaitu, RM3.3 Juta daripada 51 peserta program IBBC, RM49,000 daripada 30 peserta Program Bimbingan Pembangunan Produk dan RM476,000 menerusi 60 usahawan Program Bimbingan Keuntungan Menu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, program bimbingan anjuran Insken berjaya membantu 9 usahawan bertukar status daripada kategori mikro kepada kategori perusahaan kecil.
Beliau berkata, agenda memperkasakan usahawan di seluruh Malaysia khususnya di Sabah dan Sarawak akan diperhebatkan lagi pada masa akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Insken, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, pencapaian cemerlang seperti ini menjadikan Insken semakin bersemangat untuk melaksanakan lebih banyak lagi program bimbingan pada tahun 2023 agar ramai usahawan dapat dibantu.
Beliau berkata, sepanjang tahun 2022 program bimbingan INSKEN telah mencatat sebanyak RM8.7 Juta lonjakan hasil jualan, 100 peluang pekerjaan baharu dan 37 perniagaan bertukar status daripada kategori mikro kepada perusahaan kecil.
"Pencapaian keseluruhan tahun ini direkodkan melalui pelaksanaan 38 program bimbingan yang telah tamat dan terdiri daripada 1,395 usahawan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, secara keseluruhan, 30% purata skor diagnostik dapat ditingkatkan dan 100% usahawan telah berjaya mendaftar syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Peserta terbaik bagi Program Start-Up Coaching adalah Roslina Mat yang menjalankan perniagaan Postnatal Care.
Roslina berjaya meningkatkan 43% skor diagnostik selepas melaksanakan teknik-teknik serta ilmu yang diperolehi melalui program ini seperti membuat pengiraan kos secara betul dan teliti sebelum meletakkan harga pada sesuatu pakej, menukar borang tempahan daripada secara manual kepada atas talian dan sebagainya. - DagangNews.com