Peluang diberi untuk meneroka Taman Negara Mulu, Sarawak selama empat hari anjuran Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) memberi ruang kepada wartawan mengamati dan mempelajari kepentingannya sebagai satu daripada tapak warisan Malaysia dan hotspot destinasi pelancongan eko yang wajib dijelajahi.
Taman negara itu juga adalah satu daripada Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Malaysia.
Melalui program 'Exploring Mulu Sarawak' yang dikendalikan oleh STB, pengamal media Malaysia, Indonesia dan Brunei berpeluang meneroka taman negara itu melalui aktiviti-aktiviti luar seperti trekking sejauh 3.8 kilometer (km) ke Gua Rusa dan Gua Lang.
Landskap gua yang dibentuk kira-kira 60 juta tahun, ruang gua itu dibentuk oleh proses geologi dan hidrologi yang mampu menaikkan mendapan marin purba, manakala air hujan berasid melarutkan batu kapur, mengukir gua besar ini.
Sungai-sungai bawah tanah terus mengukir bentuknya, manakala bumbung yang runtuh secara berkala mencipta ruang langit unik yang menerangi kedalamannya.
Memasuki perut gua, pengamal media kagum dengan skalanya dan hiruk-pikuk kelawar yang bertenggek di siling tinggi.
Kelawar memainkan peranan penting dalam ekosistem Mulu, mereka menyokong rangkaian kompleks organisma penghuni gua.
Selain daripada landskap gua batu kapur, Taman Negara Mulu juga merupakan rumah kepada pelbagai spesies tumbuhan dengan kepadatan 3,500 spesies tumbuhan vaskular.
Di bawah bimbingan Henry, seorang pemandu pelancong yang berpengalaman luas dan mengetahui selok-belok hutan hujan tropika taman negara itu, penulis juga mengambil kesempatan untuk menghargai alam flora dan fauna yang terpelihara dengan teliti.
Program tersebut juga membawa pengamal media mengunjungi perkampungan etnik Penan di Kampung Batu Bungan yang hanya boleh diakses melalui Sungai Melinau dengan menaiki bot laju.
Perjalanan ke perkampungan etnik Penan kira-kira 20 minit itu dihiasi landskap hutan hujan tropika dan pemandangan gua batu kapur yang indah.
Di kampung itu, rombongan media diberi peluang untuk meninjau pasar lokal, di mana peniaga tempatan menjual pelabagi kraf tangan yang menarik seperti gelang, beg tangan dan sumpit sebelum kami meneruskan perjalanan meneroka gua di sekeliling kawasan itu.
Tiba sahaja di destinasi terakhir kami iaitu, Gua Angin dan Gua Air Jernih yang disenaraikan sebagai gua terpanjang di Asia Tenggara, penerokaannya sedikit mencabar apabila pengamal media perlu memanjat kira-kira 200 anak tangga yang mencanak untuk tiba di pintu masuk gua.
Namun begitu, perjalanan kami yang mencabar itu diberi ganjaran dengan apabila suasana menakjubkan kedua-dua gua, khususnya Gua Air Jernih yang menampilkan aliran anak sungai yang deras dan jernih.
Pengalaman mengikuti program 'Exploring Mulu Sarawak' bukan hanya memberi kesedaran kepada para penulis tentang keindahan flora dan fauna Sarawak tetapi mempelajari kepelbagaian etnik dan budaya menjadikan ia sebuah negeri yang unik, sekali gus menjadi kekuatan utama Sarawak dalam menarik pengunjung ke negeri itu.
Sementara itu, menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, STB mengambil langkah dan strategi agresif dalam memasarkan sektor pelancongan negeri itu di peringkat antarabangsa dengan menetapkan sasaran kehadiran lima juta pelancong pada tahun depan. - DagangNews.com