Untung bersih Swift Energy Technology bagi FY24 meningkat hampir 40% kepada RM17.03 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Swift Energy Technology bagi FY24 meningkat hampir 40% kepada RM17.03 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Jan - Untung bersih Swift Energy Technology Bhd bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2024 (FY24) meningkat 39.61% kepada RM17.03 juta berbanding RM12.19 juta pada tahun lalu disokong sumbangan positif segmen perkhidmatan pembuatan dan kejuruteraan.

 

Hasil bagi FY24 juga meingkat 19.82% kepada RM110.74 juta berbanding RM92.43 juta berikutan sumbangan lebih tinggi untuk segmen pembuatan yang menyumbang 79.22% dan segmen perkhidmatan kejuruteraan yang menyumbang kira-kira 6.52% daripada jumlah hasil.

 

Bagaimanapun ia diimbangi sebahagiannya oleh hasil yang lebih rendah yang dicatatkan untuk segmen dagangan,

 

"Bagi 4QFY24, kumpulan itu mencatatkan untung bersih sebanyak RM5.35 juta disokong hasil sebanyak RM29.3 juta," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, automasi industri dan sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) bersedia untuk mencatatkan pertumbuhan ketara di peringkat global, didorong oleh peningkatan permintaan untuk kecekapan, kemampanan dan inovasi merentas industri.

 

Katanya, apabila perniagaan terus menjadi moden, terdapat tumpuan yang lebih tinggi untuk menyepadukan teknologi termaju seperti automasi proses, sistem yang didayakan Internet Kebendaan (IoT) dan rumusan cekap tenaga.

 

"Aliran ini amat kukuh dalam industri seperti minyak dan gas, pembuatan makanan dan utiliti, di mana kecemerlangan operasi dan pengoptimuman sumber adalah sangat penting," katanya.

 

Katanya, dalam ruang RE, dorongan untuk penyahkarbonan mempercepatkan penggunaan sistem solar fotovoltaik (PV) dan teknologi hijau yang lain.

 

"Kerajaan di seluruh dunia sedang melaksanakan dasar sokongan, menawarkan subsidi dan menetapkan sasaran tenaga boleh diperbaharui yang bercita-cita tinggi, mewujudkan peluang yang luas untuk syarikat dalam ruang ini," katanya. - DagangNews.com