KUALA LUMPUR 3 Jan - Pembuat komponen kejuruteraan ketepatan, pemasangan mekanikal, rumusan automasi dan robotik, Oxford Innotech Bhd merancang memfailkan tawaran permulaan awam (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia untuk mengumpul dana bagi pengembangan kapasiti dan modal kerjanya.
Menurut draf prospektusnya, IPO itu akan melibatkan sehingga 194.46 juta saham, yang terdiri daripada terbitan awam sebanyak 143.46 juta saham baharu (20.21% daripada modal yang diperbesarkan) dan penjualan 50 juta saham sedia ada (7.04%) pada harga yang akan ditetapkan.
"Secara keseluruhannya, IPO Oxford Innotech menawarkan sebanyak 27.25% kepentingan kepada orang ramai dalam syarikat itu.
"Saham sedia ada kini dipegang oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Ng Thean Gin, pasangannya dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Lee Lai Chan, dan Pengarah Eksekutif, Teh Teng Wah dan Oh Yen San.
"Ng dan Lee kini memegang gabungan 56.61% kepentingan dalam kumpulan itu, yang akan turun kepada 42.35% selepas IPO, manakala pegangan saham Teh akan dikurangkan daripada 19.92% kepada 13%, dan pegangan Oh akan dikurangkan daripada 10.58% kepada 7.32%," katanya.
Oxford Innotech yang berpangkalan di Pulau Pinang itu kini mengendalikan lima kemudahan pembuatan.
Dana yang diperoleh daripada terbitan IPO akan digunakan untuk membiayai pembinaan kilang baharu, membeli jentera dan menyokong keperluan modal kerja am.
Oxford Innotech memberi perkhidmatan kepada pelanggan daripada sektor semikonduktor, elektrik dan elektronik (E&E), telekomunikasi, perabot ergonomik dan automotif.
Ia juga menyediakan perkhidmatan kepada syarikat yang terlibat dalam pembuatan sistem bangunan modular.
Bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2024 (6MFY2024), syarikat itu memperoleh keuntungan bersih teraudit sebanyak RM9.82 juta dengan hasil RM55.96 juta, yang melebihi untun bersih FY23 sebanyak RM8.05 juta.
Pada FY22, kumpulan itu mencatat untung bersih sebanyak RM8.21 juta, meningkat sedikit daripada RM7.16 juta pada FY21, apabila pendapatan meningkat kepada RM33.58 daripada RM25.13 juta.
Margin keuntungan kasar syarikat menurun dalam beberapa tahun kebelakangan ini, daripada 40.95% pada FY21 kepada 38.24% pada FY22, yang merosot kepada 35.84% pada FY23 dan seterusnya kepada 32.62% pada 6MFY2024.
Sehingga akhir Jun 2024, syarikat itu memegang tunai dan baki bank sebanyak RM13.22 juta dan dana jangka pendek sebanyak RM6.47 juta, manakala pinjaman berjumlah RM27.16 juta, menghasilkan nisbah penggearan sebanyak 0.32 kali.
Malacca Securities Sdn Bhd ialah penasihat utama, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO, dengan Wycorp Advisory Sdn Bhd berkhidmat sebagai penasihat kewangan korporat. - DagangNews.com