Kelapa sawit memainkan peranan penting dalam sektor pertanian dan ekonomi Malaysia. Tanaman kelapa sawit boleh dianggap sebagai tumbuhan industri yang penting dan sebagai ‘tanaman emas’ di Malaysia merupakan pengeksport kedua terbesar di dunia selepas Indonesia (MPOB, 2023).
Namun, penanaman di kawasan tanah gambut sering menghadapi cabaran seperti kelembapan berlebihan, kekurangan nutrien, dan penurunan tanah (Peat subsidence) yang boleh menjejaskan hasil pengeluaran.
Teknik penimbunan tanah yang diperkenalkan sebagai pendekatan efektif untuk mengatasi masalah ini, sekali gus meningkatkan hasil kelapa sawit.
Tanah gambut terbentuk daripada bahan organik yang mereput secara perlahan dalam keadaan lembap. Walaupun kaya dengan karbon organik, tanah ini sering menghadapi masalah ‘water logged’ atau genangan air.
Tanah gambut bertindak seperti span, menyerap air dan menyebabkan akar pokok terendam. Keadaan ini mengakibatkan kekurangan oksigen (Anaerobic) menjadikan akar mudah rosak dan tidak dapat menyokong pertumbuhan pokok.
Supriyanto et al., (2022) menyatakan bahawa kelembapan berlebihan di tanah gambut adalah faktor utama kerosakan dan penyakit reput pada akar kelapa sawit seperti penyakit kulat Ganoderma.
Selain itu, tanah gambut juga kekurangan nutrien penting seperti nitrogen, fosforus dan kalium yang diperlukan untuk tumbesaran tanaman.
Kajian oleh Abubakar (2018) menjelaskan bahawa nutrien di tanah gambut mudah hilang melalui hakisan tanah dan larut lesap apabila air bergerak keluar dan ke bawah tanah menyebabkan pokok tidak mendapat bekalan nutrien yang mencukupi.
Tambahan pula, tanah gambut mudah mengalami penurunan apabila kering menyebabkan kestabilan pokok terjejas. Penurunan tanah ini boleh membawa kepada pokok condong dan seterusnya tumbang menyembah bumi menyebabkan kerugian hasil sawit.
Teknik penimbunan tanah ini diperkenalkan untuk menangani cabaran-cabaran ini. Teknik ini melibatkan pembentukan timbunan tanah di pangkal pokok kelapa sawit.
Teknik ini membantu pembinaan semula sistem akar daripada kawasan genangan air membolehkan akar mendapat bekalan oksigen yang mencukupi membuktikan bahawa teknik ini meningkatkan kesihatan akar dan menyokong pertumbuhan pokok yang lebih produktif.
Tambahan pula, teknik timbunan tanah di sekitar pokok mampu bertindak sebagai zon perlindungan yang mengekalkan nutrien di sekitar akar. Suwardi et al., (2022) melaporkan bahawa teknik penimbunan tanah ini dapat meningkatkan keberkesanan pembajaan memastikan pokok menerima nutrien yang diperlukan untuk pertumbuhan maksimum. Teknik ini juga mengurangkan risiko kadar kehilangan nutrien semasa air bertakung atau banjir menjadikan nutrien kekal lebih lama di dalam tanah.
Selain memperbaiki penyerapan nutrien, Teknik ini membantu menstabilkan pokok di kawasan tanah gambut (Samsuri et al., 2018). Penurunan tanah yang sering berlaku di kawasan gambut boleh menyebabkan pokok tumbang, tetapi struktur timbunan tanah yang kukuh memastikan pokok kekal stabil.
Teknik penimbunan tanah ini membolehkan tanah mengekalkan kelembapan yang mencukupi, memastikan pokok mendapat bekalan air yang diperlukan walaupun semasa musim kering.
Pemerhatian selama dua tahun oleh Ahli agronomi LCSB (LKPP Corporation Sendirian Berhad) di plot percubaan ladang sawit berumur 13 tahun milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) Warisan Sabak, Rompin Pahang telah terbukti meningkatkan hasil kelapa sawit secara signifikan dari segi:
1. purata berat tandan (ABW) 9-10kg kepada 19-20 kg,
2. perubahan positif terhadap bilangan dan fizikal tandan,
3. peningkatan densiti akar-akar baru yang produktif
4. kanopi pokok kembali normal dengan teknik saiz timbunan 6 kaki lebar dan 3 kaki tinggi.
Dengan bukti kajian ini menunjukkan bahawa teknik penimbunan tanah terutama di kawasan tanah gambut membantu mengoptimumkan pengeluaran hasil menjadikannya sebagai pendekatan yang sangat berkesan dan mampan.
Dengan pelaksanaan teknik ini secara meluas, pekebun kecil dan syarikat perladangan dapat memanfaatkan sepenuhnya potensi kawasan tanah gambut, meningkatkan produktiviti kelapa sawit, dan menyumbang kepada pembangunan industri serta ekonomi negara. - DagangNews.com