150 acara disediakan sepanjang Sambutan Ulang Tahun Ke-150 Bandar Taiping, 20 Januari hari pelancaran sambutan | DagangNews Skip to main content

150 acara disediakan sepanjang Sambutan Ulang Tahun Ke-150 Bandar Taiping, 20 Januari hari pelancaran sambutan

Muzium Taiping merupakan antara lokasi tarikan pelawat sempena sambutan Ulang Tahun Ke-150 Bandar Taiping.
Oleh Zaki Salleh

TAIPING 15 Dis - Sebanyak 150 acara disediakan sepanjang Sambutan Ulang Tahun Ke-150 Bandar Taiping bermula Januari depan yang melibatkan penyertaan semua peringkat masyarakat.

 

Ia melibatkan 5 acara pada peringkat antarabangsa, 7 acara di peringkat kebangsaan, 5 acara tersenarai dalam Kalendar Acara Negeri Perak dan selebihnya acara peringkat komuniti. 

 

Antaranya kejohanan larian dengan 7 penganjuran, 95 acara sukan dan rekreasi, 13 acara seni dan kebudayaan serta 7 acara festival.

 

Seterusnya 21 acara pendidikan dan kesihatan, 7 acara warisan manakala selebihnya adalah kategori lain-lain. 

 

Taiping
Khairul Amir (dua dari kiri) menunjukkan Peta Pelancongan Bandar Taiping sempena sambutan ulang tahun bandar tersebut tahun hadapan.

 

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, penganjuran acara akan bertambah dari semasa ke semasa.

 

Menurut beliau, promosi melalui media cetak dan elektronik juga telah dijalankan melalui media tempatan dan juga portal antarabangsa.

 

“Majlis pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-150 Bandar Taiping pula akan diadakan pada 20 Januari depan di Dataran Warisan Taiping.

 

“Ia akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan pelbagai pengisian program telah dirancang sepanjang hari tersebut,” ujarnya.

 

Taiping
Taman Tasik Taiping.

 

Taiping
Stesen keretapi lama Taiping.

 

Mengulas lanjut kata Khairul Amir, tarikh itu dipilih sebagai tanda simbolik penubuhan bandar Taiping pada 20 Januari 1874 bersempena tamatnya Perang Larut keempat pada tahun 1873.

 

Ini seterusnya terkait juga dengan Perjanjian Pangkor yang termaktub antara pihak Inggeris dengan Perak.

 

“Pembukaan Taiping sebagai ibu negeri Perak telah meninggalkan banyak kesan-kesan sejarah sehinggalah bandar ini dikenali sebagai Bandar Warisan. 

 

“Antara kesan peninggalan pentadbiran Inggeris di Taiping ialah Bukit Larut, Hospital Taiping, Taman Tasik Taiping, Sekolah Inggeris, Penjara Taiping, Muzium Perak, landasan kereta api, Pejabat Telegraf dan Pasar Besar.

 

“Dengan slogan rasmi sambutan iaitu 'Kelestarian Warisan Mendepani Urbanisasi', kita mengalu-alukan kehadiran orang ramai bagi memeriahkan program yang akan berlangsung sepanjang Ulang Tahun ke-150 Bandar Taiping,” ujarnya.- DagangNews.com