19 IPT meterai perjanjian pendaftaran profesional dengan MBOT | DagangNews Skip to main content

19 IPT meterai perjanjian pendaftaran profesional dengan MBOT

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Okt - Sebanyak 19 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Institut Latihan Kemahiran (ILK) buat julung kalinya memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) bagi membolehkan para graduan untuk berdaftar sebagai ahli badan profesional itu.

 

Perjanjian ini merupakan satu penanda aras penting bagi pendidikan tinggi negara kerana graduan-graduan yang lahir daripada program-program yang menerima akreditasi daripada MBOT akan layak mendaftar secara automatik dengan badan profesional itu. 

 

Ini kerana akreditasi program akademik yang dijalankan oleh MBOT memenuhi kompetensi yang diperlukan oleh seorang teknologis mahupun juruteknik profesional. 

 

Selain itu, akreditasi MBOT sentiasa selari dengan perkembangan teknologi terkini serta keperluan industri dalam aspek kompetensi dan kebolehpasaran.

 

Presiden MBOT, Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir berkata, ia turut selari dengan pengumuman kerajaan iaitu sebanyak RM6.8 juta yang diperuntukkan kepada sektor Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam Belanjawan 2024 yang antara lain menyasarkan lebih banyak pengiktirafan profesional yang diiktiraf industri kepada graduan-graduan TVET. 

 

"Lembaga berkeyakinan penuh kerana program-program yang menerima akreditasi MBOT memenuhi kriteria untuk melahirkan teknologis atau juruteknik yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran diperlukan oleh industri dan negara. 

 

"Para graduan dalam program-program tersebut akan layak diiktiraf sebagai Teknologis Berijazah dan Juruteknik Berkelayakan secara automatik sejurus tamat pengajian, seterusnya menjadi nadi kepada pembangunan teknologi yang akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Terdahulu, majlis pertukaran MoU ini diadakan bersempena MBOT Technology and Technical Education Townhall 2023 pada di Putrajaya. 

 

Sesi itu menghimpunkan 150 orang dalam kalangan pengurusan tertinggi institusi termasuk Naib-naib Canselor, Timbalan Naib Canselor dan wakil-wakil institusi. - DagangNews.com