Untung bersih 1QFY24 Cape EMS melonjak 58% kepada RM13.4 juta didorong perkembangan segmen pembuatan elektronik bersepadu | DagangNews Skip to main content

Untung bersih 1QFY24 Cape EMS melonjak 58% kepada RM13.4 juta didorong perkembangan segmen pembuatan elektronik bersepadu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Mei - Untung bersih Cape EMS Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) meningkat 58% kepada RM13.41 juta berbanding RM8.5 juta pada suku sama tahun sebelumnya disokong oleh prestasi yang lebih baik daripada segmen pembuatan elektronik bersepadu (EMS).

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, hasil suku tahunan juga meningkat lebih 12% kepada RM154.8 juta daripada RM137.35 juta disokong peningkatan permintaan produk elektronik pengguna, terutamanya peralatan komunikasi tanpa wayar, rokok elektronik dan kenderaan elektrik ringan.

 

Kumpulan itu juga mengisytiharkan dividen interim satu peringkat pertama sebanyak 0.67 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, berjumlah RM6.6 juta yang akan dibayar pada 15 Ogos 2024 kepada pemegang saham yang disenaraikan dalam rekod pendeposit kumpulan pada 29 Julai ini.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Christina Tee Kim Chin berbangga kerana kumpulan itu berjaya mencatatkan keuntungan lebih baik dari suku tahun ke suku tahun dengan keuntungan bersih meningkat daripada RM5.5 juta pada 4QFY23 kepada RM13.41 juta pada 1QFY24 dengan kadar pertumbuhan sebanyak 145.5%.

 

Katanya, penyempurnaan pengambilalihan iConn Inc pada Januari 2024 membuatkan kumpulan itu memulakan peralihan ke arah model pembuatan aset ringan dengan menyepadukan keupayaan dalam talian dan luar talian secara bersama.

 

Beliau berkata, peralihan itu akan membantu mengukuhkan kedudukan pasaran mereka dengan meningkatkan daya tarikan kumpulan kepada pelanggan semasa dan bakal pelanggan.

 

"Pengambilalihan ini juga membolehkan kami mengurangkan perbelanjaan modal yang besar dan meningkatkan kesesuaian pasaran kami. 

 

"Tambahan pula, kami telah berkembang secara aktif kepada rumusan teknologi hijau, terutamanya dalam pembuatan pek bateri untuk kenderaan elektrik.

 

"Bahagian ini dijangka berkembang secara konsisten pada masa hadapan memandangkan dorongan ke arah penggunaan mod mobiliti yang lebih mesra alam di peringkat global," katanya. - DagangNews.com