Affin lancar BizChat beri sokongan penuh usahawan PKS di Sarawak | DagangNews Skip to main content

Affin lancar BizChat beri sokongan penuh usahawan PKS di Sarawak

KUALA LUMPUR 26 Julai - Kumpulan Affin (Affin) melancarkan AFFIN BizChat sulungnya bertujuan menyokong perjalanan keusahawanan melalui platform  perniagaan meneroka aliran pasaran terkini, menemui petua perniagaan berharga, serta berhubung dengan pemain dan pakar industri di Sarawak.

 

Acara yang mengumpulkan lebih 200 PKS itu menampilkan beberapa siri perbincangan bernas, forum perniagaan. 

 

Syed Mashafuddin berkata pelancaran itu penting bukan sahaja untuk Affin tetapi seluruh komuniti perusahaan kecil sederhana (PKS) di Sarawak.

 

“AFFIN BizChat bukan sahaja sekadar acara, tetapi ia merupakan perniagaan interaktif utama kami bagi menyokong perjalanan keusahawanan secara holistiknya.” katanya semasa pelancaran Affin BizChat di Kuching pada Khamis.

 

Syed Mashafuddin berkata tema ‘Memacu Perniagaan Lestari dengan Kecerdasan Buatan (AI)’ acara itu tidak mungkin lebih tepat pada masanya kerana penyepaduan AI  dalam strategi perniagaan bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan untuk pertumbuhan dan daya saing mampan.

 

“Malah, kajian menunjukkan AI berpotensi menyumbang hampir AS$1 trilion kepada KDNK Asia Tenggara menjelang 2030, dengan Malaysia berada pada kedudukan untuk menguasai AS$115 bilion daripada jumlah ini,” ujarnya.

 

Selain itu, beliau juga berkata AI boleh menyumbang kepada Sarawak memacu pertumbuhan perniagaan dalam sektor ekonomi digital, pertanian dan keselamatan makanan, tenaga boleh diperbaharui dan pelancongan antara lain.

 

Majlis itu juga menyaksikan Memorandum Persefahaman (MOU) antara tiga pemain industri utama di Sarawak iaitu Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Kuching, dan Chemsain Sustainability Sdn Bhd.

 

MoU tersebut ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif Perbankan Enterprise Kumpulan Affin Bank Bhd, Syed Mashafuddin; Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Fung Kai Jin; Pengerusi Cawangan DUBS Kuching, Sudarnoto Osman dan Pengerusi Eksekutif Chemsain Sustainability,  Dr John Chan Sung Tong serta Drahman Jaladin.

 

Menyaksikan MoU itu ialah Pengerusi Affin Islamic Bank Bhd Musa Abdul Malek; Ketua Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan Perbankan Perusahaan Kumpulan Affin Bank Bhd Raymond Lee Wei Hwa; Pengerusi SDEC Datuk Amar Morshidi Abdul Ghani, Timbalan Pengerusi DUBS Cawangan Kuching Syed Hossin Wan Hamit dan Pengarah Kelestarian Chemsain Timothy Chan Xi Jin.

 

Selain itu, Syed Mashafuddin turut menekankan kerjasama itu menyasar untuk menyediakan sokongan menyeluruh kepada PKS dalam perjalanan transformasi digital mereka serta memudahkan akses kepada ekosistem kolaboratif, berkongsi sumber perniagaan dan amalan terbaik, memacu inovasi serantau dan menawarkan rangkaian penuh penyelesaian untuk menangani kedua-dua keperluan kewangan dan bukan kewangan PKS di Sarawak.

 

“Kami percaya perkongsian ini akan memainkan peranan penting dalam mempercepatkan pertumbuhan dan kemampanan perniagaan tempatan,” katanya.- DagangNews.com