1MDB masih ada RM32.3 bilion hutang yang perlu dibayar | DagangNews Skip to main content

1MDB masih ada RM32.3 bilion hutang yang perlu dibayar


BERIKUT adalah kenyataan media oleh Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad mengenai status pengembalian aset 1MDB :

 

1. Usaha untuk mendapatkan semula aset-aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB) adalah keutamaan kepada Lembaga Pengarah 1MDB.

 

Bagi tujuan tersebut, Kementerian Kewangan telah menubuhkan Pasukan Khas yang dianggotai oleh wakil 1MDB, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional.

 

2. Proses ini juga melibatkan pelantikan penasihat undang-undang profesional yang akan membantu 1MDB di dalam usaha mendapatkan semula aset dan tindakan sivil di mahkamah.

 

Yuran profesional penasihat undang-undang yang dilantik adalah berdasarkan jumlah masa yang terlibat, selaras dengan kadar yang telah dirunding dan dipersetujui, dan bukan berdasarkan komisyen mahupun peratusan nilai penyelesaian atau nilai aset yang diperoleh.

 

3. Sebagaimana diumumkan oleh Kementerian Kewangan, Kerajaan Malaysia telah menerima penyelesaian tunai bernilai USD2.5 bilion daripada Goldman Sachs. Jumlah tersebut telah dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (“Akaun Amanah”) yang disenggara oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia.

 

Baru-baru ini, 1MDB juga telah berjaya membuat penyelesaian bernilai RM2.83 bilion dengan AMMB Holdings Berhad, dan sebanyak RM324 juta dengan Deloitte. Semua hasil yang diterima daripada usaha pengembalian aset ini, termasuk penyelesaian yang akan datang, telah atau akan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah tersebut.

 

4. 1MDB masih mempunyai RM32.3 bilion hutang yang perlu dibayar. Dua daripada hutang tersebut adalah bon denominasi dolar Amerika Syarikat bernilai USD3.5 bilion (RM14.7 bilion) dengan kadar kupon 5.75% dan 5.99%, yang akan matang pada tahun 2022, manakala bon denominasi dolar Amerika Syarikat bernilai USD3 bilion (RM12.6 bilion) dengan kadar kupon 4.4% pula akan matang pada tahun 2023.

 

Hutang terakhir 1MDB iaitu Sukuk bernilai RM5 bilion dengan kadar keuntungan 5.75% akan matang pada tahun 2039.

 

Jumlah keseluruhan bon/Sukuk termasuk bayaran prinsipal dan kupon/keuntungan yang perlu dibayar oleh 1MDB sehingga tarikh matang adalah sebanyak RM40.51 bilion. 1MDB akan meneruskan usaha mendapatkan semula aset bagi membolehkannya membayar balik kesemua bon/Sukuk apabila matang kelak. - DagangNews.com

 

1mdb