KUALA LUMPUR 16 April - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah mengambil keterangan terhadap suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz iaitu Datuk Dr Tawq Ayman bagi membantu siasatan terhadap dakwaan penerimaan dana dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob dalam kenyataannya turut mengesahkan seorang anak lelaki Tawq juga hadir merakamkan percakapan kepada PDRMpada Khamis.
“Beliau (Tawq) dipanggil untuk dirakam percakapan (selama beberapa jam) bersama anak lelaki beliau (dipanggil) bagi membantu siasatan polis.
“Rakaman percakapan telah diambil di Menara KPJ, Jalan Tun Razak bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya kepada Bernama.
Zainuddin berkata memandangkan siasatan polis dalam kes ini masih berterusan, polis menasihatkan masyarakat untuk tidak membuat sebarang spekulasi melalui mana-mana platform sehingga siasatan selesai dijalankan dan seterusnya dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk keputusan.
Pada bulan lepas, Bernama melaporkan PDRM mengesahkan bahawa siasatan terhadap Tawq berhubung dakwaan penerimaan dana yang dikaitkan dengan 1MDB dalam akaun bank miliknya di Singapura masih berjalan.
Sebelum ini, Zeti dilaporkan menafikan dakwaan bahawa keluarganya terbabit dalam skandal 1MDB.
Zainuddin dilaporkan berkata memandangkan siasatan kes ini melibatkan keterangan di Malaysia dan juga di luar negara, PDRM mengambil tindakan susulan di bawah Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 bagi mendapatkan keterangan yang berada di luar negara. - DagangNews.com