Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 25 Nov. - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melaksanakan beberapa inisiatif baharu bagi membendung lambakan rumah tidak terjual termasuk rumah baharu di negara ini.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, inisiatif pertama ialah membangunkan Housing Integrated Management System (HIMS) yang akan menggantikan sistem sedia ada bagi merekod maklumat perumahan.
"Antaranya berkaitan pemajuan perumahan yang ditetapkan di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118] iaitu pengeluaran lesen, kawalan dan pemantauan projek, penguatkuasaan serta pemilikan perumahan di bawah projek perumahan swasta. Sistem ini dijangka siap pada pertengahan tahun 2021.
"Kedua, melaksanakan Kajian Analitis Data Raya Perumahan yang bertujuan mendapatkan situasi sebenar kedudukan dan ketersediaan data berkaitan sektor perumahan di Malaysia sebelum sebarang platform berkaitan dibangunkan.
"Kajian ini akan mula dilaksanakan pada suku pertama 2021 dan hasil kajian ini akan dijadikan input bagi pembangunan platform pusat pengumpulan data hartanah yang meliputi permintaan dan penawaran untuk membantu kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri membuat keputusan serta penyediaan dasar dan perancangan perumahan negara yang lebih komprehensif," katanya ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) di Dewan Rakyat hari ini.
Jawapan berkenaan diberikan setelah Ahmad Jazlan meminta beliau menyatakan mekanisme yang akan dilaksanakan oleh KPKT bagi mengawal pemaju daripada berterusan membina projek perumahan yang tidak bertepatan dengan kehendak pasaran serta membendung lambakan rumah baharu di dalam negara.
Berdasarkan Laporan Pasaran Harta Tanah oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) pada separuh pertama 2020, terdapat 31,661 unit siap dibina yang tidak terjual dengan nilai RM20.03 bilion.
Jumlah tersebut meningkat sebanyak 3.3% dalam bilangan dan 6.4% dalam nilai berbanding separuh kedua 2019 iaitu 30,664 unit bernilai RM18.82 bilion.
Mengulas berkaitan inisiatif KPKT dalam menggalakkan pembinaan rumah mampu milik, Zuraida turut menggariskan dua inisiatif seperti berikut;
- Penyediaan garis panduan melalui Dasar Perumahan Mampu Milik (DRMM) yang telah dilancarkan pada 11 Mei 2019. DRMM menyediakan panduan kepada kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pemaju swasta dalam penyediaan rumah mampu milik yang mencukupi dan mampu dimiliki oleh rakyat.
- Menggalakan penglibatan pemaju swasta dalam pembangunan RMM yang bertepatan dengan kehendak pasaran melalui program-program perumahan mampu milik sedia ada di bawah Kementerian ini seperti Program Perumahan Penjawat Awam (PPAM), Perumahan PR1MA dan Perumahan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) serta program perumahan mampu milik yang dilaksanakan oleh agensi persekutuan/ negeri seperti Residensi Wilayah oleh Kementerian Wilayah Persekutuan, Rumah Mampu Milik Johor di negeri Johor dan lain-lain lagi. - DagangNews.com