KUALA LUMPUR 5 Okt. - Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mengunjurkan kerugian bagi sektor penerbangan pada 2022 akan berkurangan kepada AS$11.6 bilion berbanding AS$51.8 bilion pada tahun ini.
Anggaran kerugian bersih bagi 2020 juga telah disemak semula kepada AS$137.7 bilion berbanding AS$126.4 bilion sebelum ini.
Ini menjadikan, jumlah kerugian yang dialami sektor penerbangan global bagi tempoh 2020-2022 dijangka mencecah AS$201 bilion, ramal IATA.
Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh berkata, krisis pandemik COVID-19 memberi impak yang cukup besar kepada syarikat penerbangan.
Katanya, untuk terus bertahan, mereka perlu mengurangkan kos dan menyesuaian perniagaan dengan apa jua peluang yang ada.
"Ini dapat mengurangkan kerugian dialami syarikat penerbangan daripada AS$137.7 bilion pada 2020 kepada AS$518 bilion tahun ini, dan dijangka semakin berkurangan pada tahun hadapan.
"Walaupun, masih wujud masalah yang serius tetapi jalan pemulihan mula kelihatan. Sektor penerbangan sekali lagi mempamerkan daya tahannya," katanya dalam kenyataan.
Kesatuan itu turut menganggarkan permintaan (yang diukur berdasarkan hasil setiap penumpang setiap kilometer-RPK) dijangka kekal 40% pada paras 2019 untuk tahun ini, meningkat kepada 61% pada 2022.
Jumlah penumpang juga dijangka mencecah 2.3 bilion tahun ini, dan terus meningkat kepada 3.4 bilion pada 2022, menyamai paras 2014 tetapi di bawah paras 4.5 bilion penumpang pada 2019.
Sementara itu, permintaan bagi pengangkutan kargo dijangka berterusan dengan tahun ini ia mencatat 7.9%, melebihi paras 2019 kepada 13.2% pada tahun hadapan, juga melepasi paras 2019.
Walsh berkata, perniagaan pengangkutan udara menunjukkan prestasi yang baik manakala penerbangan domestik pula menghampiri paras sebelum krisis pada 2022.
"Cabarannya, ketika ini, pasaran antarabangsa sedikit tertekan kerana sekatan pergerakan masih dilaksanakan kerajaan," jelasnya.
Secara keseluruhan, IATA menjangkakan pendapatan bagi sektor penerbangan dijangka berkembang sebanyak 26.7% pada tahun ini kepada AS$472 bilion (menyamai paras 2009).
Pada 2022 pula, pertumbuhan akan terus meningkat sebanyak 39.3% yang menyaksikan pendapatan berkembang kepada AS$658 bilion (menyamai paras 2011).
Sementara itu, menurut IATA, kerugian dicatatkan syarikat penerbangan di Asia Pasifik diunjur berkurangan daripada AS$11.2 bilion pada tahun 2021 kepada AS$2.4 bilion pada tahun hadapan.
Pengurangan kerugian itu dijangka dapat dicapai di sebalik pasaran domestik yang besar dan terbuka, sebahagian besarnya adalah China. - DagangNews.com