2021 : Ekonomi serantau dijangka berprestasi lebih lemah | DagangNews Skip to main content

2021 : Ekonomi serantau dijangka berprestasi lebih lemah

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Jun - CGS-CIMB Research menjangkakan ekonomi-ekonomi ASEAN di bawah tinjauannya berkemungkinan berprestasi lebih lemah daripada potensi pertumbuhan masing-masing bagi tahun ini. 

 

Ini terutamanya dapat dilihat di Malaysia, Thailand dan Singapura yang terpaksa ‘menahan’ dahulu hasrat untuk membuka sempadan ekonomi ekoran lonjakan semula kes COVID-19 selain menguatkuasakan sekatan yang baharu, jelas firma penyelidikan itu. 

 

“Jangka masa yang lebih realistik untuk aktiviti ekonomi dijalankan semula dengan mampan mungkin berlaku pada tahun 2022 - andaian yang didasarkan pada negara-negara yang sedang membendung kes-kes COVID-19 baharu dan meningkatkan kadar vaksinasi dengan ketara - bertindak sebagai pemangkin untuk mengurangkan jurang output di ASEAN dengan signifikan pada separuh pertama tahun 2022 (1H22). 

 

“Kami menjangkakan pemulihan secara beransur-ansur dalam aktiviti ekonomi dan pasaran buruh akan ‘mengangkat’ jangkaan inflasi isi rumah, menjadi asas untuk dasar monetari kembali normal pada 2022,” ujar CGS-CIMB lanjut.

 

Di peringkat Malaysia, CGS-CIMB menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) bakal meningkatkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 75 mata asas (bps) pada tahun hadapan, menjadikan unjurannya pada 2.50% menjelang hujung tahun 2022. 

 

Seterusnya, jangkaan penambahan 50 bps lagi pada tahun berikutnya, menjadikan OPR pada kadar 3.00%. 

 

Pada April 2021, Malaysia menyaksikan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang menjadi penunjuk kepada kadar inflasi mencanak ke paras tertinggi kepada 4.7% sejak Mac 2017. 

 

Bagaimanapun, BNM mungkin tidak akan mengubah dasar monetarinya bagi tempoh 12 bulan akan datang, dalam jangkaan CGS-CIMB. 

 

“Kami menekankan semula unjuran inflasi tahunan bagi 2021 pada kadar 3.1% (BNM: 2.5%- 4.0%). Kami menjangkakan trend perbezaan dalam inflasi keseluruhan dan utama akan berterusan memandangkan inflasi tolakan kos bercanggah dengan ekonomi yang masih berprestasi di bawah potensi. 

 

“...Ini berfungsi sebagai pendirian (BNM) untuk berhati-hati terhadap normalisasi dasar monetari sehingga munculnya tanda-tanda kemajuan yang lebih ketara terhadap pembendungan dan vaksinasi COVID-19, serta pemulihan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pasaran buruh yang lebih kukuh, di mana dalam kes asas kami dijadualkan (berlaku) pada 1H22.

 

“Oleh itu, kami menjangkakan BNM akan mengekalkan OPR pada kadar 1.75% dalam tempoh 11 bulan akan datang, sebelum mengembalikan dasar itu pada paras normal menjelang Mei 2022,” tambah CGS-CIMB lagi. 

 

CGS-CIMB tidak menafikan Indonesia berjaya menguruskan krisis pandemik COVID-19 lebih baik berbanding ekonomi-ekonomi sedang membangun lain (EM). 

 

Ini diukur berdasarkan kes baharu bagi setiap sejuta penduduk, di mana purata angka tujuh hari di negara itu dikatakan lebih rendah berbanding Korea Selatan, Brazil, India, Malaysia, Rusia, Thailand, Filipina dan Afrika Selatan.

 

Kata CGS-CIMB lagi, kadar inflasi negara itu bagi April 2021 pada kadar 1.4% juga tidak berisiko, jatuh daripada 1.7% setakat penghujung 2020. 

 

Dalam masa sama, Indonesia juga merupakan ekonomi komoditi utama, dengan kira-kira 60% eksportnya merupakan komoditi, ujar CGS-CIMB. - DagangNews.com