2021: Purata bulanan bekalan ikan dijangka kekal stabil | DagangNews Skip to main content

2021: Purata bulanan bekalan ikan dijangka kekal stabil

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Julai - Purata bulanan bekalan ikan negara dijangka kekal stabil meskipun berdepan pelbagai cabaran semasa.

 

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, bekalan berkenaan dijangka kekal stabil pada 169,000 tan metrik berbanding dengan keperluan negara sebanyak 125,000 tan metrik sebulan.

 

"Pendaratan ikan seluruh negeri Sabah sahaja dari bulan Januari hingga bulan Jun 2021 telah direkodkan sebanyak 107,000 tan metrik dengan nilai sebanyak RM643 juta. 

 

"Manakala rekod pendaratan ikan di Pasar Nelayan Kampung Pasir Putih, Putatan dari bulan Januari hingga Jun 2021 adalah sebanyak 7,000 tan metrik dengan nilai RM35,000," katanya selepas sesi turun padang walkabout ke Pasar Nelayan Kampung Pasir Putih, Putatan, Sabah semalam.

 

.

 

Turut hadir, Pengarah LKIM Negeri Sabah, Sundralingam A/L Nagaiah dan Pengerusi PNK Kota Kinabalu, Datuk Arsit Sedi.

 

Menurut Dr. Ronald, sektor perikanan yang dibenarkan beroperasi sepanjang masa oleh kerajaan tertakluk kepada pematuhan SOP bagi menjamin kelangsungan rantaian perikanan serta pengusaha yang terlibat.

 

Katanya, sebarang sekatan terhadap pengoperasian sektor perikanan boleh menyebabkan sekuriti  makanan negara terjejas sekali gus meningkatkan kebergantungan import.

 

Keadaan berkenaan akan menjejaskan sumber ekonomi nelayan tempatan dan keseluruhan rantaian perikanan  yang melibatkan industri perikanan tangkapan, akuakultur, pemprosesan dan aktiviti perdagangan.

 

Mengulas berkaitan peruntukan 2021, beliau memberitahu, LKIM telah memperuntukan sebanyak RM450,000 untuk menaiktaraf pasar nelayan yang dicadang untuk dijadikan sebagai ‘One Stop Centre’.

 

Usaha berkenaan adalah bagi menjalankan aktiviti pemasaran ikan, pendaratan dan agropelancongan kerana lokasi ini sangat strategik dan berpotensi untuk dimajukan bagi manfaat nelayan dan masyarakat setempat.

 

"Kerajaan melalui LKIM telah memperuntukkan RM4.32 juta bagi negeri Sabah setakat ini bagi tahun semasa untuk bantuan baik pulih rumah di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN), naiktaraf pasar nelayan dan pembinaan pusat pengumpulan dan pengedaran ikan serta pembinaan dan baik pulih jeti-jeti nelayan.

 

"Selain itu, kerajaan juga melalui LKIM telah memperuntukkan sebanyak RM2.18 juta di bawah Dana Khas Persatuan Nelayan Negeri (PNN) dan Dana Khas Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) yang merupakan antara inisiatif dibawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin)," katanya lagi. - DagangNews.com