EXSIM Hospitality, EXSIM Ipoh City dan Liew Yin Yin Land bekerjasama bina 420 apartmen servis di Ipoh | DagangNews Skip to main content

EXSIM Hospitality, EXSIM Ipoh City dan Liew Yin Yin Land bekerjasama bina 420 apartmen servis di Ipoh

(Dari kiri) Pengarah Hal Ehwal Korporat & Penjenamaan EXSIM, Michelle Siew; Pengarah Urusan EXSIM, Lim Aik Hoe;Pengarah Eksekutif EXSIM Hospitality Bhd, Paramjit Singh; Pengerusi Kumpulan Liew Yin Yin Group Bhd, Datuk Liew Yin Yin dan Pengarah Urusan Kumpulan Liew Yin Yin Group Bhd, Datuk Seri Don Liew Mun Hon
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Jan - EXSIM Hospitality Bhd (EHB) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan EXSIM Ipoh City Sdn Bhd dan perjanjian kerja sama (JVA) bersama Liew Yin Yin Land Sdn Bhd (LYY) bagi membangunkan bangunan hospitaliti di atas tanah seluas 0.5 hektar di Ipoh, Perak.

 

EHB berkata, kerjasama itu menyasar untuk memacu peluang dan pengembangan di Pusat Bandaraya Ipoh dan setelah pembangunan itu siap, jenama hospitaliti sewa jangka pendek EHB, Mana Mana Hospitality (MMH) akan memantau projek itu.

 

"Projek itu merangkumi bangunan hospitaliti dengan 420 apartmen servis dan 4 unit runcit. 

 

"Apartmen servis ini akan mempunyai pilihan susun atur unit yang fleksibel, antara 484 kaki persegi hingga 904 kaki persegi, termasuk jenis dwi kunci yang praktikal," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Pengarah Eksekutif EHB, Paramjit Singh berkata, MoU itu mewakili satu lagi langkah penting untuk EHB, mengukuhkan kehadiran syarikat dalam sektor perhotelan.

 

"Melalui kerjasama ini, kami menyasar untuk memberi rumusan   mampan dan inovatif kepada pasaran, memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk penginapan premium dan meningkatkan nilai bagi semua pihak berkepentingan," katanya.

 

Di samping itu, Pengarah Urusan EXSIM, Lim Aik Hoe berkata, kerjasama dengan LYY dan EHB menggariskan usaha syarikat membina projek hartanah yang berkualiti tinggi dan mampan.

 

Pengarah Urusan LYY, Datuk Seri Don Liew Mun Hon berkata, perkongsian strategik tersebut akan menambahkan nilai kepada semua syarikat yang terlibat. 

 

"Kami percaya pembangunan terletak di lokasi strategik akan menjadi mercu tanda ikonik baharu di Pusat Bandaraya Ipoh," katanya.   - DagangNews.com