KUALA LUMPUR 15 Jan - SC Estate Builder Bhd menerusi syarikat kerjasama dengan Anjung Meriah Sdn Bhd menerima surat pemberitahuan (LoN) daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk pembangunan loji solar fotovoltaik (LSS) berskala 4MW di Arau, Perlis.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, anugerah itu sejajar dengan misinya untuk membina loji kuasa solar 2,000MW hingga 3,000MW, selain 3,000 unit rumah mampu milik dengan kuasa solar atas bumbung.
Kumpulan itu berkata projek itu tidak akan mempunyai sebarang kesan material ke atas aset bersih disatukan sesaham sebelum pentauliahan.
"Projek ini akan dibiayai melalui gabungan hutang dan ekuiti," katanya.
Kumpulan berkata projek itu dijangka tidak mempunyai kesan material pada kedudukan penggearannya.
Bagi suku pertama berakhir 31 Oktober 2024, SC Estate Builder melaporkan keuntungan bersih RM305,000 atas hasil RM2.6 juta. - DagangNews.com