KUALA LUMPUR 7 Sept - Sebanyak 23 bahan pertanian terpilih mencatatkan Kadar Sara Diri (SSR) melebihi 100% bagi 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurut statistik yang dikeluarkan DOSM, subsektor tanaman terdiri daripada buah-buahan, sayur-sayuran dan tanaman lain.
Berdasarkan Akaun Pembekalan dan Penggunaan Komoditi Pertanian Terpilih, penawaran lapan buah-buahan terpilih pada 2022 adalah mencukupi bagi memenuhi permintaan domestik dengan nilai SSR yang melebihi 100%.
Katanya, betik merekodkan SSR tertinggi 142.3% diikuti tembikai 131.9% dan belimbing,120.2%.
"Tujuh jenis sayuran terpilih adalah mencukupi bagi keperluan domestik iaitu tomato, 118%, timun (110.6%), bayam (109.6%), salad (107.3%), kacang panjang (106.6%), terung (106.6%) dan bendi (103.4%).
"Pada masa sama, penawaran tebu dan ubi kayu bagi tanaman lain terpilih juga mencukupi dengan masing-masing mencatatkan SSR 144.6 dan 100.5%," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Menurut jabatan itu, komoditi ternakan yang merekodkan SSR melebihi 100% pada 2022 adalah daging itik dan telur ayam/itik.
"Daging itik merekodkan SSR tertinggi iaitu 130.2% dan telur ayam/itik 108.9%. Sementara itu, hanya empat item perikanan merekodkan SSR 100% dan lebih iaitu siakap 116.5%, keli (102.2%), tuna (100.9%) dan patin (100%)," katanya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, statistik yang diterbitkan boleh menjadi petunjuk dalam menilai tahap pengeluaran domestik dan kebergantungan kepada import bagi komoditi pertanian terpilih.
Beliau berkata, SSR boleh digunakan sebagai ukuran tahap pengeluaran domestik serta ketersediaan bekalan makanan bagi memenuhi keperluan makanan negara.
Katanya, SSR yang tinggi memberi gambaran mengenai ketersediaan bekalan makanan negara adalah mencukupi yang merupakan salah satu dimensi keterjaminan makanan.
"Ketersediaan merujuk kepada pengeluaran domestik, import dan eksport serta stok sedia ada dalam negara.
"SSR yang mencapai 100% atau lebih menunjukkan bekalan atau pengeluaran bagi sesuatu komoditi pertanian adalah mencukupi untuk memenuhi keperluan dalam negara dan sebaliknya. - DagangNews.com