YNH Property tandatangani perjanjian jual tanah di Perak dengan nilai RM63.5 juta | DagangNews Skip to main content

YNH Property tandatangani perjanjian jual tanah di Perak dengan nilai RM63.5 juta

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 31 Dis - YNH Property Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, menandatangani perjanjian bernilai RM63.5 juta dalam tempoh 12 bulan lalu bagi penjualan tanah di Perak.

 

Syarikat tersebut berkata, anak syarikatnya iaitu Hotel Sfera Sdn Bhd, Kar Sin Bhd dan Mesra Unggul Sdn Bhd telah menandatangani lima perjanjian jual beli berasingan untuk penjualan tanah di Lumut dan Sayung, Perak.

 

"Pembeli tanah tersebut termasuklah Kmart Sdn Bhd, Provigo Sdn Bhd dan Invesco Asset Sdn Bhd," kata syarikat dalam satu pemfailan kepada Bursa Malaysia. 

 

Menurut kenyataan itu, syarikat dijangka merekodkan keuntungan bersih pro-forma sekitar RM23.96 juta.

 

Syarikat merancang untuk menggunakan hasil daripada penjualan tersebut bagi pembayaran pinjaman tertunggak dan modal kerja. - DagangNews.com