KUALA LUMPUR 3 Jan - Langkah Lotte Chemical Titan Holdings Bhd menutup kilangnya yang dinamakan Naphtha Cracker 1 (NC1) di Pasir Gudang, Johor pada pertengahan Disember 2024 dilihat sebagai "perkembangan positif" oleh CGS International.
Katanya, ia merupakan tindakan yang perlu dilakukan bagi menangani kemerosotan berpanjangan dalam industri petrokimia.
Firma penyelidikan itu menyemak naik penarafan syarikat kepada "pegang" daripada "kurang", berikutan penjualan yang ketara sejak tiga bulan lalu.
"Kumpulan itu merekodkan kerugian kasar bagi sembilan suku yang lalu sejak suku ketiga 2022 walaupun mengurangkan kadar penggunaannya daripada 69% pada suku ketiga 2022 kepada 58% pada suku ketiga 2024, memandangkan harga petrokimia terhadap nafta terlalu kecil untuk menampung kos daripada polietilena dan polipropilena,” katanya dalam satu nota kajian.
CGS International berkata, penutupan kilang itu akan mengurangkan 33% kapasiti pengeluaran kumpulan untuk petrokimia perantaraan seperti etilena dan propilena, dengan mengandaikan Lotte Chemical Titan tidak meningkatkan kadar penggunaan Naphtha Cracker 2 .
Katanya, kilang kumpulan itu beroperasi pada kadar penggunaan purata 57% untuk sembilan bulan hingga September 2024.
Ia memberi panduan untuk kadar penggunaan purata 55% hingga 60% sepanjang 2024.
CGS International berkata, kadar penggunaan berkesan Lotte Chemical Titan untuk 2025 mungkin menurun kepada 37%, mencerminkan kerugian pengeluaran daripada NC1.
"Kami menjangkakan kadar penggunaan yang lebih rendah untuk mengurangkan kerugian kumpulan pada 2025," katanya.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu mengelak daripada menyemak semula ramalannya, sementara menunggu penjelasan lanjut daripada kumpulan mengenai panduan penggunaan pada 2025.
"Kumpulan itu mugkin mengimbangi penutupan NC1 dengan menaikkan kadar penggunaan NC2 secara sederhana.
"Walaupun ia dilihat tidak begitu jelas dari segi ekonomi namun kumpulan itu mungkin bimbang tentang risiko kehilangan pangkalan pelanggannya secara kekal kepada pesaing," katanya. - DagangNews.com