KUALA LUMPUR 5 Jan - Buat julung-julung kalinya, siswa UPM dari kelab sepak takraw mengadakan klinik asas sepak takraw bagi pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah di sekitar Kuala Selangor.
Sekumpulan pelajar Kelab Sepak Takraw dari Universiti Putra Malaysia menyasarkan hampir 100 orang pelajar sekolah rendah dan menengah bagi mengasah kemahiran permainan sepak takraw mereka bersama bekas juara pemain sepak takraw Piala Dunia 2024.
Penolong setiausaha program, Muhammad Wafiy bin Md Ali berkata, generasi muda di Malaysia semakin kurang minat terhadap sukan tradisional, tambahan pula dalam zaman penuh dengan arus kemodenan ini ramai anak muda lebih minat bermain permainan digital berbanding permainan tradisional yang banyak menggunakan fizikal.
“Sebagai seorang rakyat Malaysia, kita sepatutnya fokus untuk melestarikan permainan tradisional dalam kalangan anak muda supaya sukan ini tidak lupus ditelan zaman. Permainan tradisional merupakan salah satu identiti negara yang sepatutnya dipelihara dan dikekalkan kerana ia dilihat sebagai sebuah asset yang bernilai untuk negara,” katanya.
Salah satu tarikan program ini ialah para pelajar akan dilatih oleh bekas pemain sepak takraw yang sangat berpengalaman. Dengan ini, para pelajar tidak perlu khuatir dengan kredibiiti program ini dalam mengasah Kemahiran asas sepak takraw bagi pelajar yang baru berjinak dengan sukan ini.
Dengan harga RM35, peserta akan dilatih mulai jam 7.30 pagi sehingga 2 petang oleh bekas pemain sepak takraw yang berpengalaman, tambahan pula, peserta akan mendapat baju, sijil penyertaan dan makanan bagi sesi pagi dan tengah hari, pakej ini dilihat sangat murah dan berbaloi berbanding klinik asas sepak takraw di tempat lain.
Sejajar dengan seruan Kementerian Belia dan Sukan untuk menghidupkan semula sukan sepak takraw yang dilihat seperti hidup segan mati tidak mahu di bumi sendiri, UPM berhasrat mengangkat martabatnya setaraf dengan sukan berprestij yang lain.
Klinik Asas Sepak Takraw di bawah kelolaan Kompleks Sukan Universiti Putra Malaysia akan diadakan pada 11 Januari 2025, para pelajar yang berminat dipelawa menyertai peluang keemasan ini untuk mengasah bakat terpendam mereka. - DagangNews.com