Citaglobal peroleh 55% pegangan saham syarikat Jerman, LAWI Engineering | DagangNews Skip to main content

Citaglobal peroleh 55% pegangan saham syarikat Jerman, LAWI Engineering

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 7 Jan - Citaglobal Bhd memperoleh pegangan ekuiti sebanyak 55% dalam syarikat Jerman, LAWI Engineering GmbH (LAWI Germany), sebagai sebahagian daripada kerjasama untuk menyediakan teknologi dan rumusan kejuruteraan sisa kepada tenaga (WTE) yang canggih bagi projek pengurusan sisa.

 

Citaglobal berkata, pelaburan yang dicadangkan telah dibayar sepenuhnya pada 3 Januari 2025 melalui anak syarikat milik sepenuhnya, Citaglobal Environment Management Sdn Bhd.

 

"Dengan pelaburan ini, kumpulan dapat menawarkan rumusan menyeluruh, bekalan peralatan, kejuruteraan dan reka bentuk untuk projek sisa dan biotenaga di seluruh dunia, tanpa bergantung kepada pengimportan teknologi dari syarikat luar negara.

 

"Kumpulan juga merancang untuk mengeksport teknologi ini ke luar Malaysia," katanya dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia.

 

Menurut Citaglobal, langkah berkenaan adalah hasil daripada kerjasama antara syarikat tersebut dan Shanghai SUS Environment Co Ltd bagi pembangunan dan pengendalian projek WTE di Pahang.

 

Projek-projek tersebut akan melibatkan penukaran sisa bandar kepada tenaga elektrik, yang kemudiannya dijual sebagai tenaga boleh diperbaharui dan projek biojisim di Malaysia.

 

Citaglobal berkata, ia turut melibatkan penukaran sisa pertanian seperti ranting buah kosong dan/atau sisa minyak kelapa sawit kepada tenaga, mengikut perjanjian kerangka pembangunan bersama yang dimeterai antara syarikat itu dan SUS Holding Ltd pada Julai 2024.

 

"Pelaburan yang dicadangkan ini selaras dengan matlamat untuk mencapai visi kumpulan dalam menggalakkan amalan pengurusan sisa lestari di Malaysia, yang melibatkan pengurusan sisa yang cekap bagi meminimumkan kesannya terhadap alam sekitar," kata Citaglobal. - DagangNews.com