KUALA LUMPUR 8 Jan - Sektor hartanah dan pembinaan merupakan penerima manfaat terbesar di dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kata penganalisis.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, kontraktor pembinaan merupakan penerima manfaat segera di zon ekonomi itu kerana ia melibatkan keperluan penubuhan infrastruktur asas seperti jalan raya, pengurusan sisa, bekalan air dan elektrik selain bagunan perindustrian serta peluang tenaga boleh diperbaharui (RE).
"Antara syarikat berpotensi termasuk Kimlun Corp Bhd, Sunway Construction Group Bhd (SunCon), Sunway Bhd, IOI Properties Group Bhd, UEM Sunrise Bhd dan ITMAX System Bhd," katanya dalam satu nota kajian.
HLIB berkata, kontraktor yang berpangkalan di Johor seperti Kimlun dan Ekovest Bhd boleh mendapat manfaat daripada rangsangan pembangunan negeri itu.
Selain itu, pelancaran lebih banyak pusat data di Johor berpotensi memanfaatkan SunCon yang kini menjalankan dua kerja pusat data di sana berjumlah RM3.9 bilion.
Tambahan pula, HLIB Research meramalkan peningkatan ketara mobiliti antara Johor dan Singapura selepas Sistem Transit Rapid (RTS) Johor-Singapura siap, di samping langkah lain seperti perjalanan tanpa passport dengan menggunakan kod QR.
Ditambah pula dengan limpahan positif daripada JS-SEZ (serta zon kewangan khas Forest City) dan ketersambungan yang lebih baik daripada potensi transit aliran ringan (LRT) dan transit pantas autonomi (ART), ini seharusnya menjadi perkembangan positif untuk pasaran hartanah Johor.
"Kami juga menjangkakan perkembangan selanjutnya mengenai projek mobiliti bandar ini akan mendapat daya tarikan pada 2025 memandangkan keperluan mendesak untuk rangkaian penyebaran sebaik sahaja RTS Johor Bahru-Singapura siap pada Januari 2027, selain ketersambungan bagi memastikan kejayaan JS-SEZ.
"Terdapat juga kemungkinan pelaksanaan semula kereta api berkelajuan tinggi (HSR) akan menjadi pemangkin penting kepada keseluruhan Johor," tambahnya.
Sementara itu, CIMB Securities berkata, ia secara umumnya positif mengenai pemeteraian perjanjian JS-SEZ, kerana ia menandakan satu langkah penting ke hadapan dalam melaksanakan zon ekonomi khas.
"JS-SEZ dijangka memberi manfaat kepada sektor hartanah, pembinaan dan perladangan," katanya.
Firma penyelidikan itu menjangkakan, SEZ boleh meningkatkan prospek pemaju hartanah di Johor kerana peningkatan pergerakan orang dan perdagangan boleh merangsang permintaan untuk perumahan, terutamanya di Greater Johor Bahru.
Katanya, berdasarkan jumlah pelaburan yang dijanjikan, kerajaan Malaysia akan mewujudkan dana infrastruktur yang disokong persekutuan untuk membangunkan rangkaian rel dan jalan raya baharu yang menyokong pembangunan pesat JS-SEZ.
"Dengan memanfaatkan kemudahan pendigitalan dan Sistem Bangunan Berindustri, kami percaya Gamuda Bhd, IJM Corp Bhd, dan SunCon akan menjadi pilihan utama dalam bidaan lebih banyak bangunan perindustrian dan kemudahan berteknologi tinggi, sebagai penjajaran semula perdagangan dan pelaburan global," katanya.
Tambahan pula, CIMB Securities berkata, JS-SEZ juga dijangka mempunyai manfaat limpahan jangka sederhana untuk syarikat perladangan yang mempunyai pendedahan tanah di Johor.
"Ini termasuk syarikat seperti SD Guthrie Bhd, Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK), Genting Plantations Bhd, dan Johor Plantations Group Bhd, yang memiliki tanah ladang di Johor yang boleh mendapat manfaat daripada JS-SEZ melalui potensi usaha niaga dalam pembangunan taman perindustrian atau jualan tanah untuk projek hartanah," katanya.- DagangNews.com