Rizab antarabangsa Bank Negara susut kepada AS$116.2 bilion pada 31 Dis 2024 | DagangNews Skip to main content

Rizab antarabangsa Bank Negara susut kepada AS$116.2 bilion pada 31 Dis 2024

Gambar Bank Negara Malaysia Johardy/DagangNews
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 8 Jan - Rizab antarabangsa Malaysia susut kepada AS$116.2 bilion pada 31 Disember 2024, daripada AS$118.1 bilion dua minggu sebelumnya pada 13 Disember 2024.

 

Kedudukan rizab itu memadai untuk membiayai lima bulan import barangan dan perkhidmatan dan merupakan satu kali ganda daripada jumlah hutang luar negeri jangka pendek negara, kata Bank Negara Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

 

Daripada lima komponen utama rizab, yang terbesar ialah rizab mata wang asing, yang merosot kepada AS$103.7 bilion daripada AS$105.1 bilion.

 

Ia diikuti hak pengeluaran khas — aset rizab yang diselenggara oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berdasarkan sekumpulan mata wang. — yang jatuh kepada AS$5.7 bilion daripada AS$6 bilion.

 

Sementara itu, kedudukan rizab di IMF susut kepada AS$1.2 bilion daripada AS$1.3 bilion, manakala aset rizab lain berkurangan kepada AS$2.3 bilion daripada AS$2.4 bilion.

 

Pegangan emas tidak berubah pada AS$3.3 bilion.

 

Jumlah aset bank itu meningkat kepada RM621.59 bilion setakat 31 Dis, daripada RM597.36 bilion pada 13 Dis, manakala mata wang dalam edarannya berjumlah RM170.76 bilion. - DagangNews.com