MIDF Research positif terhadap prospek kerjasama Swift Haulage, JWD Asia luaskan perniagaan di Semenanjung Malaysia | DagangNews Skip to main content

MIDF Research positif terhadap prospek kerjasama Swift Haulage, JWD Asia luaskan perniagaan di Semenanjung Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Jan - MIDF Research positif terhadap prospek kerjasama Swift Haulage Bhd dan JWD Asia Holding Pte Ltd bagi meluaskan kehadirannya dalam perniagaan pengangkutan rantaian sejuk di Semenanjung Malaysia.

 

Katanya, pada masa ini, penglibatan mereka dalam perniagaan itu terhad di Malaysia Timur melalui kerjasamanya dengan Tasco Bhd dan Hypercold Logistics Sdn Bhd.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kerjasama dengan dengan JWD Asia dijangka membawa pengetahuan dan kepakaran berharga dalam pengangkutan rantaian sejuk kerana syarikat itu berpengalaman dalam menguruskan sejumlah besar palet rantaian sejuk dan mempunyai pengetahuan khusus dalam mengendalikan Automated Storage and Retrieval Systems (ASRS).

 

"Kajian kebolehlaksanaan sedang dijalankan untuk kemudahan rantaian sejuk di Tebrau, Johor, yang, jika direalisasikan, akan menyasarkan pasaran permintaan tinggi Singapura dengan memanfaatkan kelebihan kos Malaysia.

 

"Kumpulan juga sedang meneroka peluang pengembangan di wilayah Utara, termasuk Pulau Pinang dan kawasan lain di mana Swift Haulage mempunyai kehadiran yang kukuh," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

MIDF Research berkata, sumbangan modal RM7.3 juta kepada syarikat kerjasama itu, mencerminkan pegangan sahamnya sebanyak 51%, dijangka dipenuhi secara tunai melalui dana yang dijana secara dalaman dan/atau pinjaman bank.

 

Katanya, sehingga akhir September 2024, kumpulan itu memiliki tunai berjumlah RM44.4 juta dan nisbah penggearannya berada pada 1.0x, yang selari dengan sasaran dalamannya memandangkan model perniagaannya yang mempunyai asset yang banyak.

 

"Tiada sebarang perubahan kepada anggaran pendapatan kumpulan pada masa ini, kerana kerjasama itu masih dalam peringkat awal.

 

"Kami mengekalkan saranan "neutral" dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak 46 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com