KUALA LUMPUR 9 Jan - Prospek Public Bank Bhd dilihat positif, menjangkakan pendapatan LPI Capital Bhd sebanyak RM367 juta akan menambah 5% kepada hasil bank sebelum mengambil kira keuntungan sinergi, kata Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu menjangkakan pengambilalihan LPI akan menjana keuntungan sinergi, memanfaatkan rangkaian ejen yang diperluas dan meningkatkan peluang jualan silang.
"Margin Faedah Bersih (NIM) pada FY24 PBB dijangka kekal stabil atau meningkatkan sedikit, iaitu satu kejutan positif memandangkan kebimbangan awal mengenai pemampatan margin.
"Walaupun Public Bank kekal berhati-hati dalam pengurusan risiko, kesanggupannya untuk mengeluarkan peruntukan kerugian pinjaman (LLC) menandakan kualiti aset dan keyakinan yang lebih baik dalam ekonomi Malaysia.
"Dipacu oleh kadar deposit, kumpulan itu dijangka menerima deposit jangka Panjang yang menggalakkan," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Selain itu, Kenanga meramalkan Public Bank akan meraih manfaat hasil pinjaman daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), yang menawarkan margin yang lebih tinggi dan akan mendapat manfaat daripada projek infrastruktur yang akan datang seperti pusat data.
"Kami juga meramalkan pengambilalihan LPI Insurance baru-baru ini akan menyediakan peluang jualan silang yang ketara melalui rangkaian gabungan lebih 3,000 ejen dan 200 cawangan.
"Kami mendapati 25% perniagaan LPI pada masa ini berasal dari Public Bank, kebanyakannya dalam produk kelas kebakaran (gadai janji) dan motor (sewa beli)," katanya.
Kenanga mengekalkan sasaran pulangan atas ekuiti (ROE) FY24 melebihi 12.5% dan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM5.10 sesaham.
"Risiko kepada panggilan kami termasuk kemerosotan margin yang lebih tinggi daripada jangkaan, pertumbuhan pinjaman yang lebih rendah, kemerosotan kualiti aset yang lebih teruk, kelembapan selanjutnya dalam aktiviti pasaran modal, turun naik mata wang yang tidak menggalakkan dan perubahan kepada OPR," katanya. - DagangNews.com