KUALA LUMPUR 8 Jan - Top Glove Corp Bhd optimis catat pemulihan pendapatan kukuh pada suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25), kata Kenanga Research.
Katanya, pemulihan itu didorong ketiadaan inventori berharga tinggi dan sedikit peningkatan dalam purata harga jualan (ASP) serta tukaran mata wang asing yang menggalakkan.
Firma penyelidikan itu menjangkakan jumlah jualan kumpulan tidak berubah pada Januari dan Februari 2025 disebabkan kesan pembelian pelanggan AS yang membeli daripada pembuat sarung tangan China sebelum mengenakan tarif 50% berkuat kuasa bulan ini berbanding dengan 8% hingga 10% pada November dan Disember 2024.
"Selepas itu, Top Glove menjangkakan penghantaran pesanan daripada pelanggan AS akan dipercepatkan mulai akhir Februari 2025," kata dalam satu nota kajian.
Katanya, kesan peningkatan ASP yang lebih ketara hanya akan dirasai selepas Februari 2025 disebabkan kesan pembelian sarung tangan China daripada pelanggan AS.
"Kami menganggarkan ASP sebanyak AS$20 setiap 1,000 keping dalam model pendapatan kami," katanya.
Sementara itu, Top Glove optimis bahawa ASP dijangka meningkat secara beransur-ansur sebanyak 3% setiap bulan mulai November 2024 dan seterusnya.
Bagaimanapun, disebabkan kesan tertangguh, kenaikan ASP hanya akan dirasai secara beransur-ansur bermula dari Disember 2024. Lazimnya, ASP untuk pasaran AS lebih tinggi sebanyak AS$1 setiap 1,000 keping berbanding seluruh dunia.
Kenanga Research berkata, Top Glove menekankan bahawa eksportnya ke AS terus menunjukkan peningkatan, yang meningkat 21% suku ke suku pada 1QFY25.
Jualan AS menyumbang 18% daripada jumlah jualan kumpulan, melebihi campuran 15% untuk tahun kewangan 2024 (FY24), tetapi masih di bawah purata pra pandemik 20% hingga 30%.
Pada masa yang sama, Top Glove optimis momentum pertumbuhan yang kukuh akan kekal, kerana pelanggan terus menambah stok sarung tangan mereka yang semakin berkurangan.
"Kumpulan itu terus melihat aliran meningkat dari buan ke bulan dalam jumlah jualan pada Disember 2024 dan menjangkakan pesanan daripada AS akan diterima pada suku berikutnya, disokong pembinaan semula inventori oleh pengedar dan dirangsang tarif AS baru-baru ini ke atas sarung tangan China," katanya. - DagangNews.com