Antom tandatangani kerjasama dengan AirAsia MOVE, menyepadukan rumusan pembayaran canggih | DagangNews Skip to main content

Antom tandatangani kerjasama dengan AirAsia MOVE, menyepadukan rumusan pembayaran canggih

Gambar/FB Antom
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 9 Jan - Ant International yang beribu pejabat di Singapura mengumumkan, anak syarikatnya yang juga penyedia perkhidmatan pembayaran dan digitalisasi, Antom, menandatangani perjanjian kerjasama dengan AirAsia MOVE.

 

Di bawah perjanjian tersebut, AirAsia MOVE akan bekerjasama rapat dengan Antom dan 2C2P, sebuah platform pembayaran global sepenuhnya dan anak syarikat Antom.

 

Kerjasama itu akan menyepadukan rumusan pembayaran canggih Antom dan 2C2P, termasuk pengaturan pembayaran dan pemerolehan untuk kad serta kaedah pembayaran tempatan (LPM) ke dalam platform AirAsia MOVE. 

 

Pengurus Besar Antom, Gary Liu dari Ant International berkata, teknologi terkini berkenaan membolehkan AirAsia MOVE mempermudah kaedah pembayaran, mengurangkan kos transaksi rentas sempadan dan perbelanjaan operasi, serta menyediakan pilihan pembayaran yang lebih luas kepada pelanggan.

 

"Rumusan canggih kami termasuk pengaturan pembayaran dan pemerolehan untuk kad serta LPM, akan membolehkan AirAsia MOVE memperluaskan capaian kepada lebih ramai pengguna di seluruh rantau Asia Pasifik dan seterusnya.

 

"Dengan menggabungkan kepakaran kami dan teknologi pembayaran berasaskan kecerdasan buatan, kami komited untuk meningkatkan kecekapan operasi, mempertingkatkan kepuasan pelanggan dan membuka nilai jangka panjang bersama," katanya dalam satu kenyataan. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia MOVE, Nadia Omer berkata, dengan menyelaraskan rumusan canggih Antom dan 2C2P, pihaknya dapat meningkatkan kecekapan, memperbaiki kepuasan pelanggan dan memberikan penjimatan kos yang signifikan.

 

Perjanjian tersebut adalah sebahagian daripada kerjasama strategik yang diumumkan pada Mac lalu antara Capital A dan Ant International yang merangkumi pelbagai bidang termasuk meneroka cara untuk menyepadukan lebih banyak kaedah pembayaran. - DagangNews.com