KUALA LUMPUR 9 Jan - Walaupun perniagaan pengeluar sarung tangan kekal menggalakan, jumlah jualan dijangka menurun pada separuh pertama 2025, akibat penilaian yang mahal dan ketidakupayaan menimbang tarif import Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi, kata RHB Research.
"Walaupun keseluruhan dinamik operasi kekal menguntungkan pengeluar tempatan, kami percaya penilaian sektor itu telah mendahului prospek pemulihan pendapatannya.
"Nisbah Harga Kepada Buku (P/BV), yang membandingkan nilai pasaran syarikat dengan aset bersihnya, pada masa ini adalah 1.9x, yang jauh lebih tinggi daripada purata 3.8x, menunjukkan pelabur membayar premium aset sektor tersebut.
"Penilaian sebegitu kelihatan besar berbanding prospek pemulihan pendapatan sektor pada 2026, yang kami anggarkan pada 39% daripada pendapatan sebelum COVID-19," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Selain itu, firma penyelidikan itu juga berkata, pengeluar sarung tangan tempatan mungkin terjejas oleh penguatkuasaan tarif AS pada 2025.
“Tarif AS akan menimbulkan cabaran kepada pengeluar sarung tangan tempatan dalam meraih manfaat penuh daripada tarif import yang dikenakan ke atas pengilang China.
"Walaupun pembuat produk getah Malaysia bersedia untuk mendapat manfaat daripada lencongan perdagangan di AS, kami menjangkakan jumlah jualan berkurangan pada 1H25 berikutan potensi pemuatan hadapan pesanan daripada pelanggan AS pada 4Q24," katanya.
Oleh itu, RHB Research menurunkan saranannya ke atas pengeluar produk getah kepada "neutral" daripada "overweight".
"Walaupun kami menurunkan saranan, kami percaya pengeluar sarung tangan yang telah menunjukkan prospek pemulihan pendapatan yang lebih baik, mempunyai profil kunci kira-kira yang kukuh dan mempunyai pendedahan jualan yang lebih tinggi kepada AS, akan melihat risiko penurunan yang terhad.
"Dengan itu, kami terus memihak kepada Hartalega Sdn Bhd dan Kossan Rubber Sdn Bhd (kedua-duanya neutral), sambil mengekalkan panggilan "beli" kami untuk Riverstone Holdings Limited kerana prestasi margin, pendedahan unik kepada sarung tangan bilik bersih dan pembayaran dividen yang konsisten.
"Risiko industri ini termasuk perubahan harga jualan sarung tangan, permintaan yang tidak menentu dan perubahan harga bahan mentah," katanya.- DagangNews.com