Pengurangan perbelanjaan modal Petronas, Maybank IB ramal sektor minyak dan gas berdepan prospek mencabar | DagangNews Skip to main content

Pengurangan perbelanjaan modal Petronas, Maybank IB ramal sektor minyak dan gas berdepan prospek mencabar

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Jan - Syarikat minyak dan gas domestik terpilih diramal berdepan prospek mencabar berikutan implikasi daripada kemungkinan pengurangan perbelanjaan modal daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan kesan harga minyak yang lebih rendah.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, harga minyak mentah Brent berkemungkinan lebih rendah pada purata AS$70 setong tahun ini berbanding AS$80 setong tahun lalu dan berkemungkinan penurunan modal Petronas mungkin memberi kesan domestik terutama kepada pembekal perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas huluan.

 

Katanya, ia berikutan pelantikan rasmi Petroleum Sarawak Bhd sebagai pengagregat gas tunggal untuk Sarawak berkuat kuasa 1 Februari 2024, menandakan peralihan ketara dalam kawalan sumber gas asli Sarawak daripada Petronas.

 

Firma penyelidikan itu berkata, peralihan tanggungjawab perdagangan gas boleh memberi kesan kepada aliran hasil dan aliran tunai Petronas.

 

“Kami percaya penangguhan belanjawan Petronas merupakan antara kemungkinan kerana sebahagian besar daripada hasil dagangannya mungkin telah hilang. 

 

"Akibatnya, penerokaan lanjut, kerja pengeluaran dan pembangunan projek mungkin ditangguhkan sehingga kedua-dua pihak mencapai persetujuan bersama," katanya dalam atu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, di bawah senario penangguhan modal Petronas, syarikat yang mungkin terjejas termasuk Velesto Energy Bhd, Dayang Enterprise Holdings Bhd, Perdana Petroleum Bhd dan Icon Offshore Bhd.

 

Syarikat lain yang mungkin akan mengalami pendapatan yang lebih rendah termasuk Sealink International Bhd, Marine & General Bhd, Carimin Petroleum Bhd, Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd dan Petra Energy Bhd.

 

"Walaupun kebanyakan syarikat ini menunjukkan momentum pendapatan yang kukuh sekarang, perbelanjaan Petronas yang lebih rendah boleh menyebabkan pengurangan kadar aktiviti, permintaan dan penyediaan perkhidmatan, menyebabkan pertumbuhan lebih perlahan untuk tahun itu,” katanya.

 

Bagaimanapun, Maybank IB percaya, segmen pertengahan boleh menjadi lebih berdaya tahan dan mungkin tidak terjejas sekiranya terdapat perbelanjaan modal yang lebih rendah oleh Petronas.

 

“Kira-kira 60% daripada pendapatan Dialog Group Bhd datang daripada aset terminal tangki bebas dan berdedikasi “ambil atau bayar” jangka panjangnya, yang berada dalam segmen pertengahan dalam rantaian nilai minyak dan gas.

 

"Kami menyukai Dialog kerana kumpulan itu mungkin mendapat manfaat daripada pembangunan Kompleks Tenaga Pengerang di Johor oleh ChemOne; dan pembangunan loji penapisan Petronas bernilai RM6 bilion dengan Eni SpA dari Itali dan Euglena Co Ltd dari Jepun dengan keperluan untuk terminal tangki untuk penyimpanan jangka panjang produk ditapis dan mentah,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan pandangan negatif bagi segmen petrokimia berikutan jangkaan harga jualan purata polimer kekal lemah pada 2025, apabila permulaan kapasiti serantau baharu akan dibanjiri dengan bekalan.

 

Syarikat penyelidikan itu mengekalkan saranan "jual" ke atas Petronas Chemicals Group Bhd dan Lotte Chemical Titan Holding Bhd. - DagangNews.com