KUALA LUMPUR 8 Jan - Pertumbuhan keuntungan bersih teras bagi sektor telekomunikasi tempatan dijangka meningkat mendadak sebanyak 26% tahun ini berbanding 5% tahun lalu, menurut penganalisis.
Maybank Investment Bank Research (Maybank IB Research) berkata, ia akan disokong oleh pertumbuhan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak 3% untuk tahun ini dan 4% pada 2024.
Katanya, CelcomDigi Bhd dijangka memacu pertumbuhan keuntungan bersih sektor yang kukuh tahun ini.
Keuntungan bersihnya dijangka meningkat sebanyak 50% pada 2025 apabila penggabungannya memberi kesan yang lebih ketara, selaras dengan unjuran awal sebanyak RM8 bilion nilai kini bersih.
CelcomDigi juga diwakili melalui pendapatan pelaburan dalam syarikat bersekutu Axiata Group Bhd, mengukuhkan sumbangan terhadap pendapatan.
Firma penyelidikan itu berkata, CelcomDigi adalah pilihan utama mereka dalam sektor itu, dengan saranan 'beli' dan harga sasaran RM4.50 sesaham.
"Bagaimanapun, prospek keseluruhan untuk sektor ini masih mencabar, kerana ia terus dibelenggu ketidakpastian berpanjangan mengenai rangkaian 5G kedua negara dan persaingan sengit dalam jalur lebar tetap," kata Maybank IB Research dalam satu kenyataan.
Jelasnya, namun risiko tersebut telah diambil kira berdasarkan pembetulan harga saham untuk syarikat telekomunikasi mudah alih pada 2024.
Maybank IB Research turut mengekalkan pendirian 'neutral' terhadap sektor berkenaan.
Selain CelcomDigi, firma penyelidikan tu juga memberi saranan 'beli' terhadap Axiata, yang dijangka pulih dari segi pendapatan dan pembaikan kunci kira-kiranya, serta Telekom Malaysia Bhd (TM) kerana pengoptimuman kos dengan pendedahan kepada pusat data.
Bagi 5G, pengendali mudah alih dijangka terus dibelenggu oleh ketidakpastian peraturan dan risiko perbelanjaan modal (capex) untuk 5G tahun ini.
Katanya, U Mobile Sdn Bhd mungkin tidak dapat melaksanakan rangkaian 5G kedua secara bersendirian dan berkemungkinan akan bekerjasama dengan CelcomDigi atau Maxis Bhd, yang boleh menambah kebimbangan capex untuk mana-mana pihak.
"Selain itu, masih tidak jelas sama ada yuran akses semasa yang dikenakan oleh Digital Nasional Bhd (DNB), yang merupakan pemilik rangkaian 5G pertama di Malaysia, akan disemak semula atau dipinda sebagai sebahagian daripada proses untuk menyediakan rangkaian 5G kedua," ujarnya.
Maybank IB Research juga menjangkakan persaingan dalam jalur lebar tetap akan kekal tinggi pada 2025 kerana pemain mudah alih terus menggunakan jalur lebar tetap untuk mengekalkan pelanggan.
TM dan TIME Dotcom Bhd (TDC) setakat ini berjaya mempertahankan kedudukan dalam pasaran, tetapi persaingan keseluruhan masih berubah-ubah.
Menurut Maybank IB Research lagi, pengurangan RM10 sebulan dalam pendapatan purata setiap pengguna boleh menurunkan unjuran keuntungan bersih untuk TM dan TDC sebanyak 19% dan 9% masing-masing tahun ini.
Kedua-dua syarikat telekomunikasi tetap itu juga katanya, terus terdedah kepada fokus pusat data, terutamanya melalui pemilikan kerana penyambungan rangkaian masih tidak signifikan buat masa ini.
"Kejayaan dalam pelaksanaan dan penyampaian projek pusat data baharu oleh TM dan TDC akan menjadi faktor yang boleh meningkatkan semula penilaian atau kedudukan syarikat di pasaran," katanya.
Dalam jangka panjang, Maybank IB Research berkata, industri telekomunikasi dijangka terus menghadapi persaingan sengit apabila syarikat-syarikat akan terus bersaing untuk menurunkan harga bagi menarik pelanggan.
Tambahnya, disebabkan pendapatan yang tidak berkembang, syarikat telekomunikasi hanya mempunyai satu pilihan iaitu untuk mengoptimumkan kos antaranya melaksanakan penggabungan syarikat, yang akan membantu mereka mengurangkan kos dan mengekalkan keuntungan.
Syarikat telekomunikasi yang mempunyai ruang untuk mengoptimumkan kos adalah TM (kos kakitangan yang tinggi), Axiata (kos syarikat induk dan kewangan) dan CelcomDigi (manfaat penggabungan). - DagangNews.com