MGA gesa haramkan penjualan barang perhiasan perak bersalut emas, boleh kelirukan pengguna | DagangNews Skip to main content

MGA gesa haramkan penjualan barang perhiasan perak bersalut emas, boleh kelirukan pengguna

Lambakan produk barangan perhiasan perak bersalut emas yang dijual secara berleluasa di platform e-dagang, boleh memberi kesan terhadap integriti pasaran logam berharga negara.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 8 Jan - Persatuan Emas Malaysia (MGA) menggesa kerajaan mengharamkan penjualan barangan perhiasan perak bersalut emas serta produk-produk seumpamanya yang berleluasa di platform e-dagang, bagi mengelakkan pembeli tertipu.

 

MGA berkata, kemasukan produk-produk tersebut ke negara ini boleh memberi kesan besar terhadap integriti pasaran logam berharga negara, menyebabkan kekeliruan harga dan mempengaruhi permintaan emas sebenar serta dinamik keseluruhan logam berharga.

 

Jelasnya, barangan perhiasan palsu itu menyerupai barang kemas emas tulen kerana ketebalan saduran emasnya, menjadikan pengguna sukar membezakannya dengan emas sebenar tanpa penilaian profesional.

 

 

"Ini menimbulkan salah faham kepada pengguna yang menyangka mereka membeli emas tulen, sedangkan ia adalah barangan perhiasan palsu," kata MGA dalam satu kenyataan.

 

Sehubungan itu, Presiden MGA, Datuk Louis Ng, menyeru pemain industri, pengeluar, pengimport, peruncit, pengedar dan khususnya agensi penguatkuasaan untuk secara rasmi mengkategorikan perak bersalut emas dan produk-produk seumpamanya, sebagai emas palsu dan barangan yang dilarang.

 

"Kami berharap agensi penguatkuasa Malaysia, termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, akan mengenakan peraturan yang lebih ketat untuk mengharamkan penjualan dan perdagangan produk-produk ini, termasuk di platform e-dagang," ujarnya.

 

Beliau turut menekankan pemantauan yang teliti dan penguatkuasaan yang ketat bagi melindungi hak pengguna.

 

MGA berkata, selepas pertimbangan teliti dan perbincangan dengan pemain industri utama termasuk pengeluar, peruncit, pemegang pajak, Ar-Rahnu dan pihak berkepentingan lain, ia telah memutuskan secara sebulat suara untuk menolak produk-produk tersebut dan mematuhi sepenuhnya langkah-langkah untuk menghentikan pengeluaran, pengimportan dan penjualan produk-produk berkenaan.

 

"Komitmen ini memastikan pengeluar tidak akan menghasilkan produk ini dan peruncit tidak akan menjualnya di Malaysia," tambahnya. - DagangNews.com