Memasuki bulan pertama dalam tahun 2025, kita menyaksikan bahawa dunia pekerjaan di Malaysia telah mengalami perubahan besar seiring dengan kepesatan kemajuan teknologi, perubahan ekonomi yang tidak menentu dan jangkaan masyarakat yang semakin tinggi.
Perubahan ini membawa cabaran yang kompleks kepada bidang pengurusan sumber manusia, termasuklah isu-isu seperti mengekalkan pekerja mahir, adaptasi terhadap kerja secara hibrid, peningkatan kemahiran tenaga kerja, dan penjagaan kesejahteraan mental.
Cabaran-cabaran ini perlu ditangani dengan strategi yang berkesan agar organisasi di Malaysia dapat kekal relevan dan berdaya saing di peringkat global.
Malaysia menghadapi cabaran serius berkaitan penghijrahan pekerja, terutamanya dalam sektor kritikal seperti teknologi maklumat dan penjagaan kesihatan.
Laporan oleh JobStreet pada tahun 2022 menunjukkan 44% pekerja giat mencari peluang pekerjaan di luar negara disebabkan pakej gaji dan faedah yang menarik berbanding sektor tempatan.
Untuk mengatasi isu ini, syarikat perlu menawarkan manfaat tambahan seperti cuti tahunan yang lebih panjang, insurans kesihatan yang komprehensif, dan peluang kenaikan pangkat yang lebih pantas.
Strategi ini bukan sahaja meningkatkan kepuasan pekerja, tetapi juga menarik bakat untuk kekal dalam organisasi.
Contoh amalan terbaik dapat dilihat dalam program “You. Unlimited.” oleh CIMB, yang menawarkan pelbagai peluang kerjaya untuk pekerja.
Langkah ini juga selari dengan aspirasi kerajaan di bawah inisiatif Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), yang menekankan pembangunan ekonomi inklusif untuk memastikan semua rakyat Malaysia, termasuk pekerja, menikmati kemakmuran bersama.
Dalam masa yang sama, pandemik COVID-19 telah mempercepatkan peralihan kepada kerja jarak jauh dan hibrid.
Namun, kajian PwC Malaysia pada tahun 2023 mendapati hanya 38% syarikat mempunyai polisi kerja hibrid yang jelas, menyebabkan ramai pekerja berasa tidak puas hati.
Syarikat perlu melibatkan pekerja dalam merangka polisi kerja hibrid melalui libat sama atau kajian untuk memahami keperluan mereka. Sokongan seperti penyediaan teknologi yang sesuai juga perlu diberikan untuk meningkatkan produktiviti semasa bekerja dari rumah.
Sebagai contoh, polisi “Persekitaran Kerja Berorientasikan Hasil” oleh Petronas menekankan pencapaian hasil kerja berbanding waktu bekerja, membuktikan keberkesanan pendekatan fleksibel dalam kerja secara hibrid dalam kalangan pekerjanya.
Jurang kemahiran merupakan satu lagi isu utama yang dihadapi Malaysia. Laporan World Economic Forum menunjukkan 50% tenaga kerja negara perlu meningkatkan kemahiran menjelang 2025 untuk kekal relevan dalam pasaran global.
Oleh itu, majikan perlu melabur dalam program-program pembangunan dan latihan untuk pekerja. Sebagai contoh, program FutureReady oleh Maybank membantu pekerja mempelajari kemahiran digital yang diperlukan untuk menghadapi cabaran masa depan.
Selain itu, kerjasama dengan institusi pendidikan atau platform pembelajaran dalam talian seperti Coursera dan LinkedIn Learning boleh memberikan peluang kepada pekerja untuk meningkatkan kemahiran tanpa menjejaskan tugas harian mereka.
Inisiatif ini selari dengan pelbagai insentif kerajaan seperti Program Latihan Kemahiran dan Penempatan (PLKP), yang menawarkan subsidi untuk latihan kemahiran bagi meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja tempatan di seluruh negara.
Kesejahteraan mental pekerja juga menjadi isu yang semakin kritikal. Kajian AIA Vitality 2023 menunjukkan 53% pekerja mengalami tekanan tinggi akibat beban kerja dan kurang keseimbangan antara kerja dan kehidupan.
Untuk menangani masalah ini, syarikat perlu memperkenalkan inisiatif seperti ruang rehat khas di pejabat, sesi kaunseling berkala, dan waktu kerja fleksibel. Langkah seperti ini dapat membantu pekerja mengurus tekanan dengan lebih baik.
Sebagai contoh, Shell Malaysia menyediakan konsultasi percuma untuk kesihatan mental pekerjanya, menunjukkan komitmen syarikat terhadap kesejahteraan pekerja.
Usaha seperti ini juga seiring dengan komitmen kerajaan di bawah Pelan Kesihatan Mental Kebangsaan, yang bertujuan meningkatkan sokongan kepada isu kesihatan mental dalam sektor pekerjaan.
Ketidakseimbangan gender di tempat kerja juga kekal sebagai isu yang perlu diberi perhatian. Menurut Grant Thornton dalam salah satu dapatan kajiannya terhadap sumber manusia di Malaysia pada 2023, hanya 25% wanita memegang jawatan pengurusan kanan di Malaysia.
Untuk memastikan peluang sama rata, syarikat boleh melaksanakan program mentor untuk pekerja wanita dan menyediakan latihan kepimpinan bagi meningkatkan keyakinan mereka.
Inisiatif pihak swasta seperti pembentukan Majlis Kepelbagaian dan Inklusi oleh syarikat gergasi Top Glove, bertujuan meningkatkan jumlah wanita dalam jawatan penting. Ini adalah satu bentuk inspirasi yang jelas kepada syarikat lain untuk mengambil langkah serupa.
Tambahan lagi, latihan untuk menangani bias atau ketidakseimbangan di tempat kerja dapat memastikan semua pekerja diberi peluang yang adil. Langkah ini juga bertepatan dengan strategi kerajaan di bawah Dasar Wanita Negara, yang memberi tumpuan kepada pemberdayaan wanita dalam tenaga kerja dan peranan mereka dalam pembangunan sosioekonomi negara.
Tuntasnya, memasuki tahun 2025, pengurusan sumber manusia di Malaysia berdepan pelbagai cabaran dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja yang dinamik dan terlalu pantas berubah.
Organisasi dengan bantuan Kerajaan perlu memastikan semua urusan penting, seperti kebajikan pekerja, penggubalan polisi yang relevan, serta pematuhan terhadap peraturan dan undang-undang berkait sumber manusia, dilaksanakan dengan berkesan.
Dengan mengimbangi keperluan organisasi dan tenaga kerja, serta memanfaatkan sokongan dasar kerajaan, adalah diyakini bahawa para pekerja akan dapat memainkan peranan utama dalam mencipta persekitaran kerja yang inklusif, produktif, dan mampan. - DagangNews.com