Pernahkah anda terfikir bahawa kulit tembikai yang sering dianggap sisa buangan daripada buah tembikai sebenarnya menyimpan rahsia kecantikan semula jadi yang sungguh luar biasa?
Sebagai seorang penyelidik yang sentiasa mencari cara inovatif untuk memanfaatkan sumber semula jadi, saya, Prof. Madya Ts. Dr. Siti Nuurul Huda binti Mohammad Azmin dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK), ingin berkongsi perjalanan dan pandangan saya tentang potensi luar biasa kulit tembikai dalam dunia kecantikan.
Ketika saya memulakan kajian mengenai kulit tembikai ini, suasana ketika itu boleh dikatakan agak mencabar — negara kita ketika itu sedang melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.
Saya melihat dengan penuh rasa simpati bagaimana begitu sukarnya keadaan para petani yang terjejas akibat kekurangan pasaran mengakibatkan berlakunya lambakan buah tembikai, dan banyak daripadanya terpaksa dibuang begitu sahaja.
Situasi ini memberi kesan yang mendalam kepada para petani di sekitar Jeli, Kelantan, yang bergantung kepada hasil jualan tembikai untuk menyara kehidupan mereka.
Sebagai seorang ahli akademik di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli, saya merasakan tanggungjawab untuk membantu mereka. Saya cuba menghulurkan sedikit bantuan bagi menambahkan pendapatan mereka dengan membeli sisa buangan tembikai daripada petani-petani ketika itu.
Siapa sangka, bertitik tolak dari situ tercetusnya idea dalam membudidayakan kulit tembikai. Ketika memegang kulit tembikai yang dianggap tidak bernilai itu, saya mula tertanya-tanya: adakah ia sebenarnya menyimpan potensi yang luar biasa?
Situasi ini seterusnya membawa saya dan pasukan penyelidik kepada pemerhatian dan kajian awal terhadap kandungan bioaktif yang terdapat dalam kulit tembikai menggunakan bantuan teknologi terkini, yang ternyata sangat tinggi dengan antioksidan, disamping turut mengandungi vitamin dan nutrien yang sangat bermanfaat untuk kesihatan dan kecantikan.
Kami meneroka rahsia bioaktifnya, melangkah satu demi satu proses yang penuh ketelitian dan kesabaran.
Kajian kami mendapati bahawa antioksidan kulit tembikai hampir menyamai kandungan yang terdapat dalam vitamin C.
Selain terdapat antioksidan yang tinggi, kulit tembikai menjadi subjek kajian kerana ia juga didapati kaya dengan vitamin-vitamin seperti A, C dan B6 serta, mengandungi Sitrulina — sejenis protein tetrapeptida yang mampu merangsang penghasilan kolagen, meningkatkan keanjalan kulit, mengurangkan garis halus dan kedutan, serta memberikan kesan pemutihan dan pengurangan pigmentasi.
Dalam kajian ini juga, kami dapat melihat bagaimana sifat semula jadi kulit tembikai yang mampu memberikan hidrasi, melindungi kulit daripada kerosakan akibat sinaran ultraungu, dan meningkatkan keanjalan kulit.
Saya sangat teruja apabila kajian makmal kami menunjukkan keberkesanan bahan-bahan ini dalam memperbaiki tekstur dan kelembapan kulit, sekaligusi mampu meningkatkan kesihatan dan kecantikan kulit.
Lebih menarik lagi, ujian makmal kami turut mengesahkan keberkesanan kulit tembikai dalam mengurangkan keradangan, bengkak, dan iritasi pada kulit. Penemuan ini memberi saya keyakinan bahawa kulit tembikai ini mempunyai potensi luar biasa untuk kecantikan kulit.
Langkah ini bukan sahaja menjadi titik permulaan kepada kajian saya, tetapi juga satu bentuk sokongan kepada komuniti setempat yang bertanggungjawab membekalkan kulit tembikai untuk keperluan kajian. Sebagai saintis dan juga pengguna, saya percaya bahawa produk kecantikan terbaik adalah yang berasaskan bahan semula jadi.
Menyedari bahawa kulit tembikai adalah sisa yang melimpah dan sering kali berakhir di tapak pelupusan, usaha memanfaatkan sisa ini merupakan salah satu langkah dalam pendekatan lestari.
Dengan menjadikannya bahan utama dalam produk kecantikan, kita bukan sahaja dapat mengurangkan pembaziran, tetapi juga memberi nilai baharu kepada sesuatu yang dianggap tidak berguna.
Inovasi ini adalah langkah penting ke arah pembangunan produk yang lebih selamat dan mesra alam. Inilah bukti bahawa apabila kita memberi peluang kepada alam, ia akan membalas dengan keajaiban.
Satu daripada cabaran terbesar saya adalah memastikan bioaktif yang diekstrak bukan sahaja berkesan tetapi juga stabil dalam formulasi produk. Melalui ujian klinikal, kami dapat membuktikan bahawa produk berasaskan kulit tembikai mampu memberikan hasil yang ketara dan terjamin keberkesanannya kepada pengguna. Ini adalah momen yang paling memuaskan bagi saya sebagai seorang saintis.
Penghargaan yang diterima atas hasil kajian ini adalah bonus yang sangat berharga dan memberikan makna mendalam kepada perjalanan saya sebagai seorang penyelidik.
Produk pertama yang lahir daripada kajian ini dijenamakan sebagai Clasiti, jenama unggul hasil inovasi Universiti Malaysia Kelantan melalui syarikat hiliran, SNH Cosmetic Lab Sdn Bhd, yang saya sendiri asaskan. Clasiti bukan sekadar produk; ia adalah lambang usaha gigih, kerjasama, dan kepercayaan terhadap potensi sumber tempatan.
Melangkah lebih jauh, kerjasama SNH Cosmetic Lab dengan Hannan Medispa membuahkan satu lagi inovasi iaitu Whitening Sunscreen Nia by Dr. Huda. Sambutan yang diterima terhadap produk ini amat memberangsangkan, memberikan saya rasa syukur dan keinsafan.
Melihat inovasi ini bukan sahaja menghiasi rak-rak di seluruh cawangan Hannan Medispa tetapi juga membawa manfaat nyata kepada ramai pengguna adalah satu kepuasan yang melangkaui jangkaan saya. Setiap maklum balas positif daripada pengguna seolah-olah memberi saya satu suntikan semangat baharu untuk terus berkarya.
Sebagai penyelidik, saya sering berkongsi pandangan dalam persidangan antarabangsa, memperkenalkan bagaimana Malaysia mampu melahirkan inovasi bertaraf dunia melalui penyelidikan universiti.
Saya ingin dunia tahu bahawa walaupun berasal dari sebuah negara kecil, kita mampu mencipta sesuatu yang besar — produk yang bukan sahaja memenuhi kehendak pasaran tetapi juga sejajar dengan prinsip kelestarian.
Inovasi ini bukan sekadar tentang kecantikan fizikal, tetapi juga mencerminkan usaha memelihara alam sekitar dan memperkasakan komuniti. Ia adalah bukti bahawa sains dan kemanusiaan boleh berganding bahu untuk membawa perubahan positif kepada dunia.
Melihat jauh ke hadapan, saya berharap untuk terus meneroka potensi kulit tembikai dalam pelbagai kegunaan melibatkan penjagaan diri dan kecantikan.
Saya juga berhasrat untuk menjalin lebih banyak kerjasama dengan institusi dan syarikat, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa. Saya yakin bahawa sains dan teknologi mampu membawa kita lebih jauh dalam memahami dan memanfaatkan sumber semula jadi.
Sebagai seorang penyelidik dan pensyarah saya juga berharap kisah ini dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda. Dunia memerlukan lebih ramai saintis dan inovator yang bersedia untuk mencabar status quo dan mencari penyelesaian yang kreatif.
Saya ingin menekankan bahawa setiap sisa mempunyai potensi yang belum diteroka. Kita hanya perlu melihat dengan pandangan yang berbeza dan hati yang terbuka.
Kajian saya terhadap kulit tembikai bukan sahaja mengubah perspektif saya dalam melihat sisa buah tetapi juga membuka peluang yang tidak pernah saya bayangkan sebelum ini.
Melalui perjalanan ini, saya belajar bahawa setiap cabaran adalah peluang untuk mencipta sesuatu yang bermakna, dan setiap langkah kecil ke arah inovasi boleh membawa perubahan besar kepada masyarakat dan alam sekitar.
Saya juga menyedari bahawa kejayaan tidak datang dengan mudah sebaliknya memerlukan keberanian, ketekunan, dan kesediaan untuk terus belajar tanpa putus asa.
Setiap kali apabila anda memakan tembikai, ingatlah bahawa kulitnya adalah harta karun yang menunggu untuk diteroka.
Justeru, marilah kita bersama-sama menghargai dan memanfaatkan keajaiban alam ini untuk kebaikan bersama. Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan ini. - DagangNews.com