Menangani gejala Popcorn Brain dengan pendekatan tawazun | DagangNews Skip to main content

Menangani gejala Popcorn Brain dengan pendekatan tawazun

Oleh Prof. Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor

Kehidupan dalam era digital menawarkan pelbagai manfaat, tetapi ia juga membawa cabaran baharu, termasuk isu yang semakin mendapat perhatian dikenali sebagai "popcorn brain."

 

Istilah ini merujuk kepada keadaan otak yang terlalu terangsang akibat penggunaan teknologi secara berlebihan, seperti media sosial, permainan video, dan gajet.

 

Walaupun bukan istilah perubatan rasmi, fenomena ini kian meluas dalam masyarakat moden.

 

Otak yang sentiasa dirangsang sukar untuk memberi tumpuan, berfikir secara mendalam, atau menikmati interaksi sosial secara langsung, menjadikan ia satu cabaran besar dalam usaha menyeimbangkan penggunaan teknologi dengan kesejahteraan mental.

 

Dalam kajian saintifik, "popcorn brain" dikaitkan dengan kesan penggunaan teknologi terhadap fungsi kognitif manusia.

 

 

parafrasa

 

 

Kajian dalam jurnal Frontiers in Psychology mendapati penggunaan media sosial yang berlebihan boleh mengurangkan keupayaan memberi perhatian dan meningkatkan risiko gejala kemurungan.

 

Begitu juga, kajian terkini dalam Journal of Behavioral Addictions menunjukkan ketagihan terhadap telefon pintar menyumbang kepada gangguan tidur dan tekanan mental.

 

Penggunaan teknologi tanpa kawalan menyebabkan otak sukar menikmati saat tenang kerana sentiasa mencari rangsangan seperti pemberitahuan telefon atau video pendek di media sosial.

 

Kesan buruk "popcorn brain" boleh dilihat dalam pelbagai aspek kehidupan harian. Contohnya, individu yang bergantung kepada telefon pintar sering merasa gelisah apabila tidak menerima pemberitahuan baharu.

 

Mereka cenderung membuka aplikasi media sosial berulang kali walaupun tanpa sebab yang jelas, semata-mata untuk memenuhi keperluan otak terhadap rangsangan.

 

Akibatnya, produktiviti menurun, tugas penting sukar disiapkan, dan tanggungjawab harian sering diabaikan.

 

Dalam konteks pendidikan, pelajar yang terlalu terbiasa dengan rangsangan digital mendapati sukar menumpukan perhatian semasa pembelajaran kerana mereka lebih selesa dengan maklumat yang ringkas dan pantas.

 

Dari segi hubungan sosial, ketagihan teknologi menjadikan interaksi interpersonal semakin cetek. Individu yang terlalu sibuk dengan gajetnya kehilangan peluang untuk berkomunikasi secara bermakna dengan keluarga dan rakan-rakan.

 

Keadaan ini bukan sahaja menimbulkan rasa terasing tetapi juga menyumbang kepada masalah kesihatan mental seperti keresahan sosial dan kemurungan.

 

 

parafrasa

 

 

Menurut pakar psikologi, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengawal masa penggunaan teknologi.

 

Antaranya ialah dengan menetapkan waktu khusus untuk menggunakan skrin, seperti memeriksa e-mel atau media sosial hanya pada waktu tertentu.

 

Aktifkan mod "Jangan Ganggu" semasa bersama keluarga atau rakan supaya sebarang pangilan atau mesej yang masuk ke dalam peranti akan terhalang dari awal lagi.

 

Elakkan membawa gajet ke bilik tidur, ruang makan, dan bilik mandi. Gantikan hiburan skrin dengan aktiviti lain seperti membaca, memasak, atau bermain permainan catur.

 

Selain itu, libatkan diri dalam hobi tanpa skrin seperti berkebun, melukis, atau bermain alat muzik.

 

Luangkan masa di luar rumah untuk bersenam dan mendapatkan cahaya matahari, yang dapat meningkatkan mood secara semula jadi. Bagi mengurangkan ketegangan mata, amalkan peraturan "20-20-20": setiap 20 minit, ambil rehat selama 20 saat dan fokus pada sesuatu sejauh 20 kaki.

 

Pada waktu malam, wujudkan rutin tanpa skrin sekurang-kurangnya satu jam sebelum tidur untuk meningkatkan kualiti tidur.

 

Simpan buku atau majalah di tempat yang mudah dicapai untuk menggantikan media sosial semasa berehat. Sebagai alternatif kepada penstriman video, dengarkan radio, buku audio, atau podcast.

 

Panduan Ad-Din

Islam menawarkan panduan holistik untuk menangani cabaran ini melalui konsep tawazun atau keseimbangan.

 

Dalam Surah Al-Baqarah, ayat 143, Allah menyebut bahawa umat Islam adalah "umat pilihan dan umat yang adil," mengingatkan pentingnya kesederhanaan dalam setiap aspek kehidupan, termasuk penggunaan teknologi.

 

Dengan menyeimbangkan masa antara gajet, ibadah, dan interaksi sosial, kesan negatif "popcorn brain" dapat dielakkan.

 

 

parafrasa

 

 

Konsep muraqabah, iaitu kesedaran bahawa Allah sentiasa memantau perbuatan manusia, juga membantu membendung ketagihan teknologi.

 

Hadis Nabi SAW mengingatkan umat Islam untuk memanfaatkan lima perkara sebelum lima perkara, termasuk masa lapang sebelum sibuk dan sihat sebelum sakit.

 

Kesedaran ini boleh memotivasi individu untuk menggunakan masa dengan bijak, seperti melibatkan diri dalam aktiviti produktif atau meningkatkan hubungan dengan keluarga dan masyarakat.

 

Amalan zikir juga menjadi terapi efektif terhadap gangguan mental akibat rangsangan teknologi.

 

Mengingati Allah melalui solat, doa, atau bacaan Al-Quran membawa ketenangan jiwa, seperti yang disebut dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 28: "Hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang."

 

Dalam konteks ini, menggantikan masa yang biasanya dihabiskan dengan media sosial kepada aktiviti rohani boleh membantu otak berehat dan mengurangkan pergantungan pada rangsangan digital.

 

Islam juga menekankan kepentingan menjaga akal (hifz al-‘aql), salah satu daripada lima prinsip Maqasid Syariah.

 

Ketagihan teknologi yang menyebabkan kesukaran fokus atau berfikir mendalam adalah ancaman kepada intelek manusia.

 

Oleh itu, kawalan diri (mujahadah) menjadi kunci dalam mengatasi isu ini. Langkah mudah seperti mematikan peranti semasa makan atau sebelum tidur boleh membantu.

 

 

parafrasa

 

 

Aktiviti sosial secara fizikal juga digalakkan dalam Islam untuk membina ukhuwah dan mengelakkan pengasingan akibat teknologi.

 

Firman Allah dalam Surah Ali Imran, ayat 103, mengingatkan umat Islam untuk berpegang teguh pada tali Allah dan tidak berpecah-belah.

 

Aktiviti seperti solat berjemaah, menghadiri majlis ilmu, atau ziarah boleh memulihkan hubungan sosial dan memberikan keseimbangan dalam kehidupan. 

 

Semua pihak harus sedar bahawa fenomena "popcorn brain" adalah cabaran besar dalam era digital, tetapi ia boleh ditangani dengan pelbagai strategi yang berkesan dan panduan agama.

 

Dengan mengamalkan keseimbangan, kesedaran, dan kawalan diri, kita dapat memanfaatkan teknologi tanpa mengorbankan kesihatan mental dan kualiti hidup. - DagangNews.com

 

Prof. Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor ialah Pensyarah Kanan dan merupakan Felo di Institut Sains Islam (ISI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Artikel ini ditulis bersama Dr. Kartini Kamaruzzaman iaitu Ketua Program Komunikasi Media Baharu, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM dan Dr. Norsimaa Mustaffa iaitu Pensyarah Kanan dalam Program Komunikasi Media Baharu, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM.