Audit pihak ketiga sahkan tiada kebocoran data di Rexit | DagangNews Skip to main content

Audit pihak ketiga sahkan tiada kebocoran data di Rexit

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Jan - Rexit Bhd mengumumkan ia telah menyelesaikan audit keselamatan siber bagi mengesahkan keselamatan data syarikat daripada kebocoran maklumat. 

 

Dalam satu makluman di Bursa Malaysia, penyedia perisian-sebagai-perkhidmatan(SaaS) memaklumkan tiada kebocoran atau insiden pencerobohan dikesan selepas proses audit.

 

"Audit yang dijalankan oleh LE Global Services Sdn Bhd, anak syarikat LGMS Berhad, tidak mendapati sebarang kebocoran data dan keselamatan data syarikat kekal kukuh. 

 

"Dengan menjalankan audit keselamatan siber bebas, ia menggariskan komitmen kami yang tidak berbelah bahagi terhadap keselamatan data. 

 

"Hasil positif audit ini memberikan jaminan selanjutnya kepada pelanggan dan pihak berkepentingan kami bahawa sistem dan proses kami adalah teguh.

 

"Melihat ke hadapan, Rexit akan terus secara proaktif menangani ancaman yang muncul bagi meningkatkan kepercayaan dan keyaakinan pelanggan kami," katanya.

 

Proses audit, yang bermula pada November 2024 itu telah dijalankan sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan syarikat terhadap keselamatan data. - DagangNews.com