Swift Haulage bekerjasama dengan JWD Asia bangunkan rangkaian rantaian sejuk di Semenanjung Malaysia | DagangNews Skip to main content

Swift Haulage bekerjasama dengan JWD Asia bangunkan rangkaian rantaian sejuk di Semenanjung Malaysia

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 7 Jan - Swift Haulage Bhd (Swift Haulage) dan JWD Asia Holding Pte Ltd (JWD Asia)menubuhkan sebuah syarikat usaha sama (JV), Swift Cold Chain Sdn Bhd untuk mengendalikan perniagaan gudang dan pengangkutan rantaian sejuk di Semenanjung Malaysia.

 

JWD Asia merupakan pemegang saham utama dalam Swift Haulage, dengan 180 juta saham atau 20.49% pegangan langsung dalam syarikat tersebut.

 

Swift Haulage berhasrat mengembangkan dan mempelbagaikan portfolio semasanya dengan membuka saluran pendapatan baharu dalam perkhidmatan logistik rantaian sejuk.

 

Kumpulan itu mahu memanfaatkan pengalaman mereka dalam sektor logistik untuk menyediakan rumusan terkawal suhu yang boleh dipercayai dan kos efektif.

 

sejuk

 

Kerjasama dengan JWD Asia akan memberikan usaha sama tersebut pengetahuan dan kepakaran dalam logistik rantaian sejuk melalui syarikat induk JWD Asia, SCGJWD Logistics Public Company Limited (SCGJWD).

 

SCGJWD berpengalaman dalam menguruskan sejumlah besar pallet rantaian sejuk berjumlah lebih 242,000 unit dan memiliki pengetahuan dalam mengendalikan Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik (ASRS).

 

Menurut terma JV berkenaan, Swift Haulage akan memegang 51% kepentingan, manakala baki 49% dimiliki JWD Asia.

 

Pelan perjanjian tersebut termasuk pelaburan bersama yang terdiri daripada 10,000 ruang penyimpanan rantaian sejuk di Shah Alam International Logistics Hub (SAILH) di Selangor.

 

Selain itu, kajian kebolehlaksanaan sedang dijalankan untuk kemudahan rantaian sejuk di Gudang Tebrau Swift Haulage di Johor Bahru, dengan kapasiti yang dicadangkan sebanyak 11,000 pallet yang dilengkapi dengan ASRS untuk memenuhi permintaan serantau.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swift Haulage, Loo Yong Hui berkata, JV itu bertujuan memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat terhadap logistik terkawal suhu dalam pelbagai industri, termasuk barangan pengguna, makanan mudah rosak, serta produk sensitif suhu seperti farmaseutikal dan hasil pertanian.

 

Beliau berkata, kemudahan rantaian sejuk di SAILH dijangka memulakan operasi pada suku pertama 2026, dengan kemas kini lanjut mengenai kemudahan rantaian sejuk di Tebrau akan dikongsi kemudian.

 

"Perkongsian ini menandakan satu lagi pencapaian penting ketika syarikat kami berkembang lebih jauh dalam sektor logistik rantaian sejuk, sebuah industri yang kritikal dan berkembang pesat.

 

"Dengan menggabungkan kepakaran SCGJWD dan aset strategik kami, kami berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi perkhidmatan logistik rantaian sejuk yang boleh dipercayai dan berkesan di Malaysia dan Singapura," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, CEO Bersama SCGJWD, Bunn Kasemsup berkata, pihaknya berbangga bekerjasama dengan Swift Haulage dalam usaha sama penting memperkukuhkan kedudukan syarikat sebagai penyedia logistik bersepadu terbesar di ASEAN. 

 

"Perkongsian ini membolehkan kami memperluaskan rumusan rantaian sejuk dan pengangkutan rentas sempadan di Malaysia dan Singapura, memanfaatkan teknologi canggih dan kepakaran kami.

 

"Dengan menggabungkan teknologi penyimpanan sejuk inovatif SCGJWD dan aset strategik Swift Haulage, kami berada pada kedudukan yang baik untuk menyampaikan rumusan logistik yang berkesan dan berpatutan yang memenuhi permintaan yang semakin meningkat di rantau ini," jelasnya. - DagangNews.com