KUALA LUMPUR 7 Jan - HSBC Global Research mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang sebanyak 4.8% pada 2025 didorong kadar penggunaan yang tinggi serta peningkatan pelaburan walaupun terdapat risiko luaran.
Katanya, unjuran itu dibuat berbanding sasaran awal sebanyak 4.6% selain peningkatan kepada 5.2% berbanding 5% bagi KDNK pada 2024.
"Walaupun terdapat risiko luaran, penggunaan dan pelaburan, namun sebahagiannya menyokong pertumbuhan,” katanya dalam laporan Tinjauan Ekonomi Asia 2025, hari ini.
Selain itu, firma penyelidikan itu berkata, pembentukan modal tetap kasar (GFCF) negara menunjukkan pertumbuhan dua angka yang mengagumkan untuk tiga suku berturut-turut, didorong oleh sektor awam dan swasta.
Dalam laporannya, HSBC menyerlahkan pemulihan kukuh Malaysia pada 2024, khususnya dalam sektor pembuatan, dengan eksport elektrik & elektronik (E&E) kembali mencatatkan peningkatan.
"Berbanding rakan setaranya, masih ada ruang untuk sektor perdagangan Malaysia bertambah baik, walaupun itu tidak berlaku untuk sektor komoditi.
"Minyak sawit dijangka terus mencatatkan pertumbuhan dua angka, tetapi eksport minyak dan LNG (gas asli cecair) kekal memberi kesan terhadap eksport," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) di bawah Presiden Donald Trump menimbulkan risiko, terutamanya untuk sektor semikonduktor Malaysia, penggunaan dan pelaburan yang kukuh terus menyokong pertumbuhan.
Mengenai inflasi, HSBC menyatakan, trajektori pertumbuhan bergantung kepada tahap penyasaran semula subsidi.
HSBC meramalkan inflasi berkemungkinan berada di bawah julat sasaran Bank Negara Malaysia iaitu 2% hingga 3.5%, dengan kadar dasar semalaman (OPR) dijangka kekal tidak berubah pada 3%.
“Memandangkan kejutan penurunan baru-baru ini, kami menyemak semula unjuran inflasi susut kepada 1.9% (daripada 2.3%) untuk 2024, dan kepada 2.7% (daripada 3%) untuk 2025, walaupun kami mengakui ketidakpastian daripada potensi rasionalisasi subsidi pada RON95," katanya. - DagangNews.com