23 pemohon terima manfaat Geran Pemangkin Ekonomi Budaya | DagangNews Skip to main content

23 pemohon terima manfaat Geran Pemangkin Ekonomi Budaya

Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi (tengah, barisan hadapan) dan Hamdan Abdul Majeed (kiri, barisan hadapan) bergambar bersama 23 penerima Geran Pemangkin Ekonomi Budaya.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Sept - Sebanyak 23 permohon terdiri daripada tujuh individu dan 16 organisasi yang berjaya dipilih akan menerima manfaat daripada program Geran Pemangkin Ekonomi Budaya.

 

Kitaran pertama program geran menyaksikan 53% diluluskan untuk Penciptaan Kandungan, 32% untuk Pembinaan Kapasiti dan Advokasi, dan 15% untuk Demonstrasi. Lebih daripada 40% pemohon wanita menerima pembiayaan daripada kitaran ini. 

 

Program geran yang diumumkan menerusi sebahagian inisiatif Bajet 2022 itu akan memanfaatkan aset ketara dan tidak ketara Malaysia yang unik bagi pertumbuhan sosioekonomi serta pembangunan semula modal budaya, ekonomi dan sosial masyarakat kerana ia akan mewujudkan peluang pekerjaan dan pelaburan.

 

Ini adalah selaras dengan objektif program Rangkaian Arkeopelancongan Wilayah Utara & Pembangunan Ekonomi Tempatan, sebuah inisiatif Think City, di bawah naungan Kementerian Kewangan (MOF).

 

Lokasi tumpuan awal bagi Program Geran Pemangkin Ekonomi Budaya termasuk Lenggong, Kuala Kangsar dan Taiping.

 

Bagi meneruskan momentum itu, Think City berharap dapat menggalakkan permohonan dari tapak penting lain seperti Guar Kepah, Sungai Batu, Lembah Bujang, Alor Setar, rizab bakau seperti Sungai Prai, rizab alam semula jadi seperti Royal Belum dan Perlis untuk menyumbang idea kreatif dan inovatif ke arah memperkukuh kepentingan sejarah dan budaya tempat tersebut serta bagaimana projek-projek ini akan memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, wilayah utara termasuk Perak, kaya dengan sejarah dan budaya.

 

"Kami amat berbangga untuk ambil perhatian bahawa terdapat sejarah sejak hampir dua juta tahun lalu di halaman kami. Semua aset penting budaya kekal sebagai nod rangkaian penting di wilayah utara termasuk tapak seperti Lenggong, Kuala Kangsar dan Taiping. 

 

"Kami mengalu-alukan usaha berterusan ini di bawah Think City yang pastinya akan memberikan rangsangan kepada pelancongan berasaskan budaya di rantau ini, memberikan projek berasaskan komuniti serta pemain kecil peluang untuk lebih berdikari dan menyumbang kepada pelancongan tempatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed berkata, sepanjang sejarah, orang ramai telah tertarik dengan bandar sebagai pusat budaya, pembelajaran dan peluang ekonomi. 

 

"Tapak budaya, semula jadi dan arkeologi yang penting itu kaya dengan sejarah dan berpotensi untuk menjadi pameran persekitaran budaya dan semula jadi antarabangsa, dan boleh dibangunkan menjadi destinasi budaya terpilih dan mampan utama. 

 

"Think City telah mengenal pasti nod berpotensi di wilayah utara yang dapat meningkatkan pengalaman berasaskan budaya dan akan terus menyokong penerima geran yang boleh mendalami dan mempelbagaikan pengalaman pelawat serta meluaskan pemahaman orang ramai tentang kepentingan budaya rantau ini melalui kitaran kedua Geran Pemangkin Ekonomi Budaya Program," katanya.

 

Disebabkan sambutan yang menggalakkan bagi permohonan untuk kitaran pertama Program Geran Pemangkin Ekonomi Budaya, Think City kini membuka permohonan untuk kitaran kedua program dari 23 Ogos 2022 dengan bidang tumpuan yang sama seperti kitaran pertama program geran. - DagangNews.com