23 transaksi melibatkan bank-bank Malaysia dikenal pasti sebagai ‘mencurigakan’  | DagangNews Skip to main content

23 transaksi melibatkan bank-bank Malaysia dikenal pasti sebagai ‘mencurigakan’ 

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Sebanyak 23 transaksi melibatkan bank-bank Malaysia dikenal pasti sebagai ‘mencurigakan’ oleh institusi-institusi perbankan Amerika Syarikat (AS). 

Menerusi dokumen Treasury’s Financial Crimes Enforcement Network (FinCEN) yang bocor baru-baru ini mendapati 23 transaksi itu melibatkan jumlah masuk melebihi AS$4.88 juta (RM20 juta) dan jumlah keluar, AS$13.38 juta (RM55 juta).

Sejumlah transaksi yang mencurigakan dilakukan oleh Public Bank Berhad pada kadar AS$13.37 juta dengan tujuh transaksi diikuti oleh OCBC Bank pada jumlah AS$10,100. 

AmBank pula menerima transaksi mencurigakan tertinggi sebanyak AS$2.9 juta dalam dua transaksi, diikuti HSBC Bank Malaysia Berhad (ASS$871,637) dan Alliance Bank Malaysia Berhad (AS$462,378).

Bank-bank lain yang turut tersenarai termasuk United Overseas Bank, CIMB Bank Berhad, dan Standard Chartered Bank.

Menurut Malay Mail, transaksi itu dikenal pasti oleh tiga bank dari AS iaitu The Bank of New York Mellon Corp (kenalpasti 14 transaksi), diikuti oleh Standard Chartered Plc (tujuh), dan JP Morgan Chase & Co.

Kesemua transaksi itu melibatkan akaun luar negara termasuk AS, Afghanistan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Poland dan Latvia. 

Kebocoran maklumat itu yang diperiksa dengan teliti oleh BuzzFeed News dan Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasatan melibatkan Laporan Aktiviti Mencurigakan (SAR), menandakan transaksi mencurigakan tersebut.

SAR perlu diajukan kepada FinCEN apabila terdapat kemungkinan kesalahan seperti pengubahan wang haram disyaki, dalam tempoh 60 hari dari tarikh pengesanan. - DagangNews.com