KUALA LUMPUR 27 Dis - CIMB Securities positif terhadap pasaran ekuiti Malaysia pada 2025, disokong oleh pertumbuhan pendapatan tahun ketiga berturut-turut pada 8%, dipacu oleh sektor bank, pembinaan dan utiliti.
Firma penyelidikan itu meramalkan penanda aras FBM KLCI akan memberi pertumbuhan pendapatan kukuh sebanyak 8% pada 2025 berbanding jangkaan 12% pada 2024 dan 5% pada 2023, menandakan pertumbuhan tahun ketiga berturut-turut.
Katanya, pertumbuhan pendapatan didorong oleh dasar kerajaan Madani termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Rancangan Malaysia Perindustrian Baharu 2030 dan pelaburan langsung asing yang kukuh, termasuk pelaburan besar dalam pusat data.
"Pemangkin tambahan termasuk potensi pelaksanaan inisiatif peningkatan nilai, kecairan domestik yang kukuh, saluran paip tawaran awam permulaan yang teguh dan potensi aktiviti penggabungan dan pemerolehan.
"Walaupun ancaman tarif yang lebih tinggi daripada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang akan datang menimbulkan risiko kepada pertumbuhan global, sektor sarung tangan getah Malaysia boleh mendapat manfaat," katanya dalam satu nota penyelidikan.
CIMB Securities telah melaraskan sasaran FBM KLCI akhir 2025 kepada 1,763 mata, meningkat daripada 1,608 mata yang mencerminkan kemasukan juzuk baharu baru-baru ini sambil mengekalkan sasaran akhir 2024 pada 1,635 mata.
Kedua-dua sasaran adalah berdasarkan sasaran harga pendapatan (P/E) yang tidak berubah sebanyak 15.1 kali, iaitu 0.5 sisihan piawaian pada atas paras minimum.
Semakan separuh tahunan baru-baru ini menyaksikan kemasukan Gamuda Bhd dan 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd dalam KLCI, menggantikan Genting Bhd dan Genting Malaysia Bhd.
Lima pilihan saham teratas CIMB Securities untuk suku pertama 2025 ialah Hong Leong Bank Bhd, CelcomDigi Bhd, Gamuda, Tenaga Nasional Bhd dan Genting Malaysia.
Katanya, sorotan utama pada separuh kedua 2025 termasuk potensi pelancaran Rancangan Malaysia ke-13 pada bulan Julai, pilihan raya negeri Sabah sebelum Disember 2025 dan pengumuman Bajet 2026 pada Oktober 2025.
"Perkembangan ini, bersama-sama dengan menambah baik kejelasan mengenai dasar perdagangan global , dijangka menyokong keyakinan pasaran dan membentangkan peluang selanjutnya untuk pasaran ekuiti Malaysia," katanya.- DagangNews.com