23 usahawan catat pertumbuhan bulanan lebih 95% selepas sertai program GRAP MBSB Bank | DagangNews Skip to main content

23 usahawan catat pertumbuhan bulanan lebih 95% selepas sertai program GRAP MBSB Bank

Datuk Nor Azam M. Taib (tengah) bergambar bersama 23 usahawan pada Majlis Penyerahan Sijil GRAP di Menara MBSB, Petaling Jaya pada 27 September 2022.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PETALING JAYA 27 Sept - Seramai 23 usahawan terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berjaya mencatatkan pertumbuhan pendapatan bulanan melebihi 95% selepas menyertai program Sijil Growth Entrepreneurship Assistance Programme (GRAP) anjuran MBSB Bank.

 

Seorang peserta, Azie Haslinda Abu Bakar, 33, berkata, dia bersyukur apabila terpilih untuk menyertai GRAP setelah kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19. 

 

Dia kini boleh menarik nafas lega kerana perniagaan makanan secara kecil-kecilannya antara yang mencatatkan pencapaian tertinggi dari segi peningkatan pendapatan setelah menyertai GRAP.

 

"Sebelum menyertai GRAP saya hanya boleh menyediakan 30 pek makanan sehari, namun selepas menyertai program itu, saya boleh menghasilkan sehingga 100 pek sehari.

 

"Peningkatan pendapatan saya pada asalnya RM1,000 sebulan kini meningkat kepada RM5,000 sebulan," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Sijil GRAP di sini, hari ini.

 

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib.

 

 

 

mbsb
Azie Haslinda Abu Bakar

 

 

Seorang lagi peserta yang juga suri rumah, Nur Raihan Zainalabidin, 35, yang terlibat dengan perniagaan bakeri dan katering pula berjaya meningkatkan hasil jualan secara konsisten.

 

Dia berkata, ia merupakan hasil daripada bimbingan menerusi program GRAP bagi menampung keperluan enam orang anak-anaknya serta ahli keluarga yang lain.

 

 

mbsb
Nur Raihan Zainalabidin

 

 

"Saya berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang. InsyaAllah saya juga merancang untuk membuka premis untuk mengembangkan lagi perniagaan saya," katanya.

 

Turut berkongsi pengalaman, Fazlekha Md Ghazali, 38, yang merupakan seorang penjaja makanan yang mempunyai kesukaran menambah pendapatan bulanan sebelum ini.

 

Namun, dengan menyertai GRAP, dia berjaya meningkatkan pendapatan bulanannya sehingga melebihi 100% dalam jangka masa 7 bulan dengan menjual Char Kuey Teow dan Nasi Lemak.

 

 

mbsb
Fazlekha Md Ghazali

 

 

Dalam pada itu, Nor Azam pula berkata, pihaknya berjaya melaksanakan program GRAP yang mengupayakan usahawan kecil, sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya.

 

"Kami sangat bersyukur dan berbesar hati dengan kejayaan GRAP. Secara puratanya, para peserta mencatatkan pertumbuhan pendapatan bulanan melebihi 95%. 

 

"Inisiatif tanggungjawab sosial korporat ini adalah seiring dengan konsep pembangunan lestari dan keseimbangan ekonomi," katanya. - DagangNews.com