24,300 peluang pekerjaan menerusi Karnival Kerjaya 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia - PM | DagangNews Skip to main content

24,300 peluang pekerjaan menerusi Karnival Kerjaya 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Dis - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan 24,300 peluang pekerjaan melibatkan 75 majikan ditawarkan melalui Karnival Kerjaya 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM).

 

Beliau berkata, kerajaan juga akan merancakkan usaha mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan belia menerusi inisiatif penawaran peluang pekerjaan kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) melalui Program GetHired@KPT di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). 

 

Beliau berkata, seramai 14,740 pelajar telah mendapat penempatan pekerjaan dan penjanaan pendapatan menerusi program berkenaan.

 

Perdana Menteri memberitahu, melalui portal MyFutureJobs, Kementerian Sumber Manusia, sebanyak 55,528 penempatan pekerjaan daripada pelbagai sektor telah dilaksanakan melalui portal ini dan bagi tempoh 1 September hingga 9 Disember ini, sejumlah 728,444 kekosongan telah didaftarkan di portal yang sama.

 

"Hari ini saya ingin mengumumkan, 24,300 peluang pekerjaan melibatkan 75 majikan ditawarkan melalui Karnival Kerjaya di program Aspirasi 100 Hari sepanjang empat hari ini," katanya ketika berucap merasmikan 100 hari AKM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

 

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga turut memperkenalkan baucar pembelian makanan menerusi program FOOD@Campus yang diagihkan kepada pelajar terpilih yang terdiri daripada golongan asnaf dan B40 melibatkan penuntut universiti awam, politeknik dan kolej komuniti seluruh negara. 

 

akm

 

"Sebelum ini, kita mendengar bahawa ramai di kalangan pelajar B40 terutama menghadapi masalah pembelian makanan kerana belum menerima biasiswa dan bantuan. Akibat dari keadaan ini, mereka terpaksa mengikat perut untuk makan.

 

"Alhamdulillah, dengan pengenalan FOOD@Campus, mereka mendapat baucar tunai RM15 untuk membeli makanan di pusat pengajian masing-masing. 

 

"Program FOOD@Campus ini telah memanfaatkan seramai 470,444 penuntut setakat ini," katanya. - DagangNews.com