25 usahawan SUPERB siri 15 terima peruntukan RM12.5 juta | DagangNews Skip to main content

25 usahawan SUPERB siri 15 terima peruntukan RM12.5 juta

Mohd. Redzuan Yusof

Mohd. Redzuan Yusof

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Seramai 25 usahawan belia yang dinobatkan sebagai pemenang Program Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) siri ke-15 menerima peruntukan dana sebanyak RM12.5 juta.

 

Program yang dikendalikan oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) itu melahirkan para pemenang yang berjaya membuktikan kebolehlaksanaan idea perniagaan mereka yang kreatif, berinovatif, dan kritis.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, beliau berbangga dapat berada dalam kalangan usahawan-usahawan muda yang kreatif dan berinovasi di dalam perniagaan, dengan business offerings yang out-of-the-box serta mengaplikasikan kecanggihan teknologi di dalam usaha pembangunan perniagaan. 

 

"Ia adalah sesuatu yang bertepatan dengan keadaan semasa yang menyaksikan pertumbuhan ekonomi gig di seluruh dunia.

 

"Malaysia antara negara pengguna terbesar internet di rantau Asia, perlu meraih peluang di dalam melahirkan lebih banyak usahawan, perniagaan, peluang pekerjaan dan perniagaan berasaskan ekonomi gig ini," jelasnya dalam Majlis Apresiasi Pemenang SUPERS 2020 di Putrajaya, semalam.

 

SUPERB adalah program yang berasaskan pertandingan “business pitching” ini telah menyaksikan perjalanan 1,149 usahawan belia Bumiputera atau beraspirasi menjadi usahawan, dari seluruh negara melalui beberapa proses pembentangan perniagaan sejak Ogos 2020 lalu untuk melayakkan diri dan bergelar juara. 

 

Daripada jumlah tersebut, 60 peserta telah dipilih ke peringkat akhir untuk pembentangan perniagaan mereka secara dalam talian pada 11 dan 12 Disember 2020 lalu. 

 

Para pemenang menerima penyaluran dana sebanyak RM12.5 juta sekali gus menjadikan penyaluran keseluruhan program SUPERB sejak pelancarannya pada 2014 sebanyak RM157 juta.

 

Pemenang mewakili pelbagai industri termasuk ekonomi digital (9 pemenang), kreatif/ seni/ kesihatan/ fesyen (3 pemenang), perniagaan agro / agri (4 pemenang) serta perusahaan sosial / ekonomi perkongsian (3 pemenang) serta Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) seramai (6 pemenang).

 

Md Silmi
Md Silmi

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Md Silmi berkata, SUPERB yang dimulakan semenjak tahun 2014 itu berjaya membantu 183 usahawan Bumiputera ke tahap yang lebih tinggi.

 

"Dengan peruntukan RM144.5 juta oleh kerajaan, SUPERB membuka peluang untuk melahirkan lebih ramai usahawan muda yang secara langsung meningkatkan kedudukan ekonomi Bumiputera.

 

"Para pemenang yang dipilih pada tahun ini telah membentangkan idea perniagaan yang cukup berinovasi dan tuntas, dari segi digitalisasi dan penggunaan teknologi, kompetitif serta mampu berkembang maju selari dengan norma baharu," tambahnya lagi. - DagangNews.com