KUALA PENYU 15 Julai - Sebanyak 2,600 ekor benih ketam bakau dilepaskan di Tasik Sitompok, Kuala Penyu, menerusi program kerjasama antara Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Jabatan Perikanan Sabah.
IPMB dalam kenyataan medianya memberitahu, program berkenaan bertujuan menambah stok perikanan dan hidupan air di tasik berkenaan.
Menurut IPMB, benih ketam bakau yang dilepaskan adalah daripada spesies Scylla tranquebarica yang dihasilkan di Hatceri Krustasia institut berkenaan.
“Spesies ketam bakau ini dipilih kerana ia merupakan spesies ketam bakau yang dominan di perairan Sabah.
“Benih ketam yang dilepaskan bersaiz diantara 5 mm hingga 25 mm lebar karapas dan berumur dalam 8 minggu selepas penetasan di Hatceri Krustasia,” demikian menurut kenyataan tersebut.
Program tersebut disempurnakan Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perikanan Sabah, Azhar Kassim.
Turut hadir, Pengurus Hatceri Krustasia IPMB UMS, Prof. Madya Dr. Annita Yong Seok Kian.
IPMB berkata, hasil kajian penyelidik UMS mendapati bahawa hasil tangkapan ketam bakau di perairan Sabah kini semakin berkurangan.
“Aktiviti akuakultur menggunakan benih yang dihasilkan di pusat penetasan adalah amat penting untuk terus membangunkan industri penghasilan ketam bakau pada masa hadapan.
“Pada masa sama, ia bagi memulihara stok ketam bakau bagi memenuhi permintaan tempatan dan luar negara.
“Sehingga kini, bekalan ketam bakau bergantung hampir sepenuhnya daripada penangkapan stok liar ketam yang diperolehi daripada habitat semula jadi,” ujar IPMB. - DagangNews.com