KUALA LUMPUR 13 Jan - Sapura Energy Bhd telah menerima pengesahan bertulis daripada Jawatankuasa Penstrukturan Semula Hutang Korporat (CDRC).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat minyak dan gas itu berkata, CDRC mengesahkan sekurang-kurang 75% pemiutang pembiayaan pelbagai mata wang (MCF) syarikat bersetuju dengan perubahan baharu dalam pelan penstrukturan semula hutang mereka.
"Pemiutang MCF telah meluluskan perubahan baharu yang diperlukan di bawah terma Cadangan Skim Penstrukturan Semula (PRS) oleh syarikat bagi melaksanakan penstrukturan semula hutangnya (AIP kedua)," katanya.
AIP kedua membuka jalan kepada Sapura untuk memuktamadkan cadangan skim penyusunan semula sebelum dibentangkan bagi mendapatkan kelulusan daripada pihak yang berkaitan.
Sejak September 2022, Sapura Energy dan pembiaya MCF telah berunding dengan CDRC untuk mencapai persetujuan mengenai PRS, yang mana pembiaya MCF telah meluluskan pelan tersebut pada Disember 2023.
Selepas itu, Sapura Energy terus menambahbaiki PRS, dengan mengambil kira kemajuan bagi menyelesaikan tuntutan luar jangka tertentu.
Pengerusi sementara Sapura Energy, Shahin Farouque Jammal Ahmad melahirkan rasa terima kasih kepada CDRC atas bimbingan dan sokongan tidak ternilai mereka semasa proses penyusunan semula itu.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua CDRC dan pembiaya MCF kerana terus menyokong usaha pemulihan Sapura Energy.
"Dengan perkembangan positif ini, Sapura Energy berjaya mengambil langkah yang lebih dekat dalam pelan penyusunan semula kedudukan kewangan kami dan keluar daripada status syarikat Nota Amalan 17," katanya.- DagangNews.com