Hextar Healthcare lupus dua lot tanah berharga RM11.9 juta di Kinta bagi tingkatkan modal kerja | DagangNews Skip to main content

Hextar Healthcare lupus dua lot tanah berharga RM11.9 juta di Kinta bagi tingkatkan modal kerja

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Jan - Hextar Healthcare Bhd menerusi Rubberex Alliance Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli (SPA) bersama Jutanaga Sdn Bhd bagi melupuskan dua lot tanah industri berkeluasan 12,839 meter persegi di Sungai Terap, Kinta, Perak pada harga RM11.9 juta.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pelupusan itu dibuat kerana mereka tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mengembangkan operasinya pada masa hadapan.

 

"Syarikat memutuskan untuk melupuskan harta tersebut dan menggunakan hasil tersebut untuk meningkatkan modal kerjanya.

 

"Cadangan pelupusan akan mengurangkan lagi keperluan untuk menanggung kos penyelenggaraan bagi hartanah tersebut," katanya.

 

Harga pelupusan RM11.9 juta adalah bersamaan dengan kos pelaburan dan cadangan pelupusan itu tidak akan menghasilkan keuntungan dan kerugian kepada syarikat.

 

Kumpulan itu berkata, cadangan pelupusan itu dijangka tidak mempunyai kesan material ke atas perolehan sesaham, aset bersih sesaham, penggearan, modal saham dan pegangan saham pemegang saham yang besar kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

 

Cadangan pelupusan dijangka siap dalam tempoh tiga bulan dari tarikh tanpa syarat. - DagangNews.com