27 kes dicatat dalam Ops Pantau KPDNHEP di seluruh negara | DagangNews Skip to main content

27 kes dicatat dalam Ops Pantau KPDNHEP di seluruh negara


KUALA LUMPUR 18 April - Ops Pantau oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna di seluruh negara telah merekodkan 27 kes pelbagai kesalahan setelah memeriksa 5,768 peniaga khususnya ayam, daging dan ikan sejak dimulakan pada 13 April lalu.

 

Ops Catut pula yang dilancarkan 15 April, sejumlah 24 notis telah dikeluarkan kepada pemborong, 16 notis
kepada penternak yang disyaki mencatut.

 

Menterinya, Dato Alexander Nanta Linggi berkata, hasil analisis awal mendapati harga makanan ternakan yang terdiri dari soya dan jagung yang kebanyakannya diimport dari negara Argentina dan Brazil telah merekodkan kenaikan dan ini telah menjejaskan harga ayam dalam rantaian bekalan dan peringkat ladang ke pemborong, peruncit dan pengguna.

 

KPDNHEP menerima 15 aduan berkaitan harga ayam, daging (1) ikan (15) dan sayur (2) di seluruh negara sejak puasa bermula. Manakala tiada aduan diterima berkaitan kekurangan bekalan ke atas kesemua barangan di atas.

 

Sementara itu, semakan terhadap dakwaan mengenai isu yang tular di Facebook berkaitan paparan harga ikan, ayam dan daging lembu yang dikatakan tinggi di aplikasi PriceCatcher KPDNHEP di sekitar Kuala Lumpur yang dikatakan tinggi didapati kurang tepat serta tidak menggambarkan situasi sebenar kerana maklumat yang ditularkan tidak menerangkan harga di semua tempat.

 

Paparan yang tular itu hanya membabitkan harga tiga barang iaitu ikan kembung, ayam dan daging di premis-premis sekitar di daerah ‘up-market’ Bukit Bintang sahaja.

 

Semakan mendapati terdapat premis lain di kawasan berdekatan yang menjual tiga barang berkenaan pada harga lebih murah daripada yang dinyatakan dalam hantaran Facebook tersebut.

 

Dato Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi

 

Untuk rekod, berikut adalah harga tiga barang yang ditularkan sebelum ini (di Bukit Bintang) :
- ikan kembung (antara 8 hingga 12 ekor sekilogram) (1kg) sehingga RM24
- harga ayam bersih super setinggi RM12 sekilo
- Harga daging lembu tempatan (bahagian 2 daging pejal
kecuali batang pinang-tenderloin) mencecah RM40 sekilo

 

Kementerian ingin mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan maklumat Price Catcher sepenuhnya berdasarkan semakan harga terkini pada 17 April 2021:


(i) Harga Ikan Kembung (antara 8 hingga 12 ekor sekilo) menunjukkan harga yang lebih rendah daripada RM22 contohnya di Pasar Air Panas, RM 18.00; The Store, Taman Melati dan ST Rosyam Mart (RM 17.90); Terdapat juga harga promosi/lebih murah RM 8.90 ditawarkan di Pasaraya seperti di NSK Jalan Peel.


(ii) Ayam Super (1kg) ada dijual pada harga kurang daripada RM10, contohnya di Cold Storage, KLCC
(RM8.99); Hero Market, Berjaya Time Square (RM9.19); dan AEON(AU2) di Setiawangsa (RM8.30).


(iii) Daging lembu tempatan bahagian 2 daging pejal 1kg, Aplikasi PriceCatcher di Kawasan sekitar iaitu di Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di Kuala Lumpur menjual daging ini pada harga RM35.

 

Paparan harga Aplikasi PriceCatcher disusun mengikut premis dan lokasi serta harga dari terendah kepada tertinggi. Ini bertujuan untuk memudahkan pengguna untuk membandingkan harga yang ditawarkan oleh semua premis yang berdekatan dengan lokasi pengguna. Ini akan membantu pengguna untuk merancang
perbelanjaan dengan lebih bijak.

 

Oleh itu kata Alexander, adalah kurang tepat untuk membuat rumusan harga hanya berdasarkan satu premis tertentu sahaja. Dalam dunia yang penuh dengan pilihan, Aplikasi Price Catcher memberikan opsyen kepada pengguna untuk memilih dan seterusnya menjadi pengguna bermaklumat, peka dengan hak dan bijak memilih serta berani bertindak kendiri demi mempertahankan hak pengguna.

 

"Kesimpulannya, KPDNHEP konsisten menetapkan strategi penguatkuasaan yang holistik bagi memastikan pematuhan aktiviti perniagaan yang beretika dan memastikan rakyat berada dalam suasana yang selesa dan mudah mendapatkan bekalan makanan dan keperluan harian termasuk ayam, daging dan ikan pada harga yang berpatutan sepanjang bulan puasa dan ketika sambutan Aidilfitri.

 

"Selain menggunakan aplikasi Price Catcher, pengguna juga berhak membuat pilihan ke atas barangan yang ada di pasaran. Jadilah ‘Pengguna Bijak’ dengan selalu membandingkan harga. 

 

Terus menjadi mata dan telinga KPDNHEP dan menyalurkan maklumat berkaitan salah laku peniaga yang melanggar undangundang di bawah bidang kuasa KPDNHEP secara rasmi melalui
saluran berikut :
i. Portal e-aduan.kpdnhep
ii. Call Centre 1-800-886-800
iii. Emel [email protected]
iv. Ez ADU KPDNHEP
v. Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245
vi. Whatsapp 019-279 4317

- DagangNews.com