Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 4 Dis. - Syarikat Power Root Bhd. (Power Root) menunjukkan prestasi dan tanda pemulihan jualan domestik pada suku kedua tahun kewangan 2021.
CGS-CIMB Research berkata, pemulihan jualan berkenaan menunjukkan tanda yang lebih baik seperti sebelum COVID-19.
"Power Root mengaitkan penurunan pendapatan sebanyak 20.4% berbanding tahun lalu pada suku kedua Mac 2021 disebabkan oleh penurunan jualan di luar negara (-38.2%) terutamanya di Arab Saudi (-45%) dan UAE (-30%) akibat COVID-19.
"Secara positif, Power Root menyaksikan tanda-tanda pemulihan jualan domestik kembali ke tahap sebelum COVID-19 pada suku kedua tahun kewangan 2021.
"Perkara itu dinilai berdasarkan kepada peningkatan jualan domestik sebanyak 2.8% tahun ke tahun dan 34.7% berbanding suku lalu kepada RM44.8 juta," jelas CGS-CIMB Research.
Dalam perancangan operasi, Power Root akan terus memberi tumpuan untuk meningkatkan kecekapan kos syarikatnya.
Dalam pada itu, syarikat berkenaan juga berusaha untuk mengoptimumkan penggunaan mesin dan mengurangkan pembaziran dalam aspek pengeluaran.
Penggunaan alat teknologi turut digiatkan oleh syarikat berkenaan bagi membantu pasukan jualan meningkatkan produktiviti seperti pantauan tahap stok dan inventori.
Dalam aspek pemasaran pula, CGS-CIMB Research memberitahu, Power Root telah memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan perbelanjaan pemasarannya menghasilkan daya tarikan dan penjualan.
"Tanpa kejutan dalam taklimat keputusan suku kedua tahun kewangan 2021 oleh Power Root, kami tidak membuat perubahan pada jangkaan perolehan sesaham (EPS) tahun kewangan 2021-2023.
"Kami mengekalkan saranan 'tambah' saham Power Root dengan harga sasaran sesaham (TP) sebanyak RM2.80," jelas CGS-CIMB Research. - DagangNews.com