3 agensi bantu pembekalan rumah mampu milik | DagangNews Skip to main content

3 agensi bantu pembekalan rumah mampu milik

Rumah Mampu Milik (RMM). Gambar hiasan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Pembekalan Rumah Mampu Milik (RMM) kepada semua negeri termasuk Pulau Pinang mencukupi melalui pelaksanaan RMM oleh tiga agensi penyedia perumahan.

 

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin berkata, tiga agensi tersebut ialah Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pemaju swasta.

 

Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin 

 

"Mulai Julai 2018 hingga 30 Jun 2020, sebanyak 546,755 unit rumah mampu milik sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan. 

 

"Jumlah ini merangkumi 327,922 unit rumah dalam fasa perancangan, 163,337 unit rumah dalam fasa pembinaan dan 55,496 unit rumah telah disiapkan," katanya ketika menjawab soalan Chow Kon Yeow (PH-Tanjong) di Dewan Rakyat hari ini.

 

Jawapan tersebut diberikan selepas Chow Kon Yeow meminta Zuraida menyatakan pendekatan Kerajaan Pusat dalam memastikan pembekalan Rumah Mampu Milik (RMM) kepada semua negeri termasuk Pulau Pinang adalah mencukupi memandangkan program PR1MA sudah tidak diteruskan.

 

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow

 

Chow Kon Yeow juga meminta Menteri KPKT itu memperincikan  pampasan yang dibayar kepada para pemaju yang tidak dapat meneruskan projek PR1MA disebabkan kepelbagaian faktor. 

 

Pecahan unit rumah di tiga peringkat pelaksanaan mengikut negeri adalah seperti berikut:

 

Pecahan unit rumah di tiga peringkat pelaksanaan

 

Zuraida menambah, status pelaksanaan RMM di bawah KPKT secara keseluruhan adalah sebanyak 174,691 meliputi pelbagai fasa pembinaan iaitu 76,566 unit rumah dalam fasa perancangan, 74,234 unit rumah dalam fasa pembinaan dan 23,891 unit rumah telah siap dibina mulai Julai 2018 hingga 30 Jun 2020. 

 

Bagi Pulau Pinang pula, sebanyak 1,162 unit rumah dalam fasa perancangan, 1,370 unit dalam fasa pembinaan dan 255 unit rumah telah siap dibina di bawah KPKT mulai tempoh yang sama.

 

Sebanyak 94 projek yang telah ditandatangani perjanjian di antara PR1MA dengan pihak-pihak kontraktor pada tahun 2013 hingga 2018 diteliti dan diperhalusi semula dengan kelulusan Anggota Perbadanan PR1MA. 

 

Hasil daripada pelaksanaan pelan tersebut, sehingga November 2020, Anggota Perbadanan PR1MA melalui Mesyuarat Anggota Perbadanan PR1MA, telah memutuskan untuk meneruskan 62 projek dan telah/akan membatalkan 32 projek.

 

Sehingga 21 Oktober 2020, hanya satu projek PR1MA yang dibatalkan di Pulau Pinang di mana jumlah kos penyelesaian penuh dan penamatan kontrak masih lagi dalam proses rundingan dan belum dimuktamadkan.

 

Manakala sebanyak dua lagi projek PR1MA di Pulau Pinang masih diteruskan iaitu di Permatang Pauh dan Bukit Gelugor melibatkan 1,922 unit. 

 

Senarai projek PR1MA di Pulau Pinang setakat 21 Oktober 2020 adalah seperti berikut:

 

projek PR1MA di Pulau Pinang